Images
  • anwar
    Ahli politik Malaysia, Anwar Ibrahim. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Kepimpinan muda antara perbezaan utama antara PKR dengan BN - Anwar

SINGAPURA: Adalah penting untuk mempunyai pemimpin ‘darah muda’ yang bergandingan dengan generasi pengganti, kata Encik Anwar Ibrahim.

Encik Anwar berkata demikian kepada Yang Razali Kassim, Zamil Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dalam “Bicara Bersama Anwar Ibrahim”.

Ini merupakan sebahagian siri RSIS tentang Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 dan selepas itu.

Encik Yang Razali memberikan satu senario kepada Encik Anwar, sambil berkata "Apabila anda mengambil alih sebagai perdana menteri, adakah anda melihat penting untuk mempunyai generasi baru pemimpin dengan anda, generasi pemimpin pengganti?"

Menjawab pertanyaan itu Encik Anwar berkata "Ianya semula jadi. Kita perlu mempunyai beberapa orang yang berpengalaman dan kita perlu menyuntik darah baharu. Kita perlu berbuat demikian".

Encik Anwar berkata kekuatan yang boleh dilihat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding dengan parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) adalah "kami mempunyai pemimpin-pemimpin muda yang diamanahkan dengan jawatan utama dalam parti, di Parlimen, khususnya Selangor, berdasarkan pengalaman dan pendedahan".

“Tidak semestinya jawatan dalam kerajaan tetapi anda lihat dalam parti, di Parlimen, mereka dalam umur antara 30-an dan 40-an," tambahnya.

Encik Anwar, yang merupakan presiden PKR baru-baru ini memilih kerusi parlimen Port Dickson untuk membuka jalan bagi kemasukannya semula ke dalam politik.

Tentang siapa pemimpin muda yang mungkin akan bersama beliau di era baru, tanpa menamakan sesiapa, Encik Anwar berkata: "Anda boleh memilih secara rawak."

"Terdapat 10 hingga 15 anggota Parlimen yang kompeten. Anda telah melihat mereka berdebat, anda telah melihat mereka bekerja. Anda telah melihat mereka mengutarakan isu," katanya.

Encik Anwar berkata beliau agak kagum dengan kesemua 10 hingga 15 orang itu untuk dipilih.

“Saya bercakap mengenai peringkat kedua pemimpin, atau lebih muda. Pemimpin kanan sudah tentu diketahui. Jadi tidak seperti di pihak lain, di Keadilan beberapa jawatan utama ditugaskan kepada pemimpin muda, "katanya.

Mengenai sama ada beliau melihat para pemimpin muda juga di pihak lain, kata Encik Anwar: "Anda lihat lebih banyak lagi dalam DAP (Parti Tindakan Demokratik) juga. Selebihnya adalah parti yang agak baru."

Gabungan PH terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara.

Pada Hari Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, Encik Anwar menerima kunjungan Encik Yang Razali di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Versi penuh "Bicara Dengan Anwar Ibrahim" boleh didapati di http://www.rsis.edu.sg.

- BERNAMA/TQ/tq

Top