Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kejadian terbaru: Enjin satu lagi pesawat AirAsia tiba-tiba mati hingga cetus panik

Sebuah lagi pesawat AirAsia dilanda masalah apabila enjinnya tiba-tiba mati di landasan dalam penerbangan dari Surabaya ke Bandung, malam tadi, lapor Metrotvnews.

Anggaran Waktu Membaca:
Kejadian terbaru: Enjin satu lagi pesawat AirAsia tiba-tiba mati hingga cetus panik

Sebuah pesawat AirAsia. (Gambar: AFP/Adek Berry)

Diterbitkan : 04 Jan 2015 07:45PM Dikemas Kini : 05 Jan 2015 12:16PM

KUALA LUMPUR: Sebuah lagi pesawat AirAsia dilanda masalah apabila enjinnya tiba-tiba mati di landasan dalam penerbangan dari Surabaya ke Bandung, malam tadi, lapor Metrotvnews.

Pesawat yang membawa 120 penumpang itu mengalami masalah tersebut sewaktu hendak berlepas dari Lapangan Terbang Juanda - lapangan terbang yang sama di Surabaya di mana pesawat QZ8501 yang hilang itu berlepas.

Kejadian itu mencetuskan suasana panik di kalangan penumpang. Seorang daripada mereka, Encik Yusuf Fitriadi, berkata terdapat bunyi yang kuat pada enjin pesawat sebelum ia tiba-tiba mati, dan pesawat mula berundur sendiri.

"Kami terkejut dan panik. Saya pun turut ketakutan. Pesawat tersebut akhirnya berundur ke posisi asal semasa kami menaikinya dan kru kabin meminta kami turun pada saat itu juga," katanya kepada Metrotvnews.com.

Pesawat itu dijadualkan bertolak jam 9.00 malam, namun mengalami masalah enjin yang dikatakan berpunca daripada 'starter montor'. Juruteknik pesawat bagaimanapun berjaya memperbaiki kerosakan tersebut.

Meskipun telah dibaiki, hampir kesemua penumpang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan kerana bimbang akan mengalami masalah sama di udara.

AirAsia kemudian mengembalikan wang kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan dengan pesawat tersebut.

Ahad lalu, pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan kru, terhempas di Laut Jawa, dipercayai akibat cuaca buruk, dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Selasa lalu pula, sebuah pesawat AirAsia terbabas daripada landasan di lapangan terbang Kalibo di Filipina, namun tiada orang dilaporkan cedera.

Pada hari yang sama, sebuah lagi pesawat AirAsia yang baru sahaja berangkat ke Khon Kaen, Thailand, berpatah balik ke Bangkok selepas juruterbang mengesan "sesuatu yang di luar kelaziman" dalam ruang penyimpanan.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan