Images
  • lombok (1)
    Gempa bumi 6.9 pada skala Richter pada 5 Ogos menyebabkan kemusnahan besar di Lombok. (Gambar: Adek Berry/AFP)

Keadaan darurat kesihatan diisytihar di Lombok akibat malaria

JAKARTA: Lombok kini berdepan dengan penularan penyakit malaria, menurut pihak berkuasa Indonesia pada Sabtu (15 Sep), menyebabkannya mengisytiharkan keadaan darurat kesihatan di pulau peranginan itu.

Sekitar 140 penduduk Lombok dilaporkan dijangkiti penyakit malaria selepas pulau peranginan Indonesia itu dilanda beberapa gempa bumi besar baru-baru ini.

Hampir 500 orang mati dalam siri gempa bumi sejak Julai manakala ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah ke tempat-tempat perlindungan kecemasan.

Bencana alam itu dipercayai menyebabkan kemusnahan bernilai sekitar 5 trilion rupiah (S$460 juta) ke atas hospital-hospital, prasarana awam serta bangunan-bangunan lain di daerah utara pulau tersebut.

Jumlah kes penyakit malaria juga naik dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Wanita dan kanak-kanak adalah antara mereka yang dijangkiti malaria, kata Ketua Agensi Kesihatan Barat Lombok, Rahman Sahnan Putra kepada agensi berita Reuters.

Ramai daripada mereka didapati tinggal di khemah-khemah menyusuli gempa tersebut dan tidak mendapatkan rehat yang secukupnya, sekali gus menjadikan mereka mudah dijangkiti penyakit tersebut, tambah beliau.

Pemerintah tempatan sudahpun mengisytiharkan keadaan darurat kesihatan di Lombok dan sedang melaksanakan langkah-langkah bagi membendung penularan penyakit itu. 

- CNA/MU/ai

Top