Images
  • contact lense
    Gambar hiasan. (Gambar: Brian Snyder/Reuters)

Kanta lekap yang 'hilang' dikeluarkan selepas 28 tahun

SCOTLAND: Seorang wanita di Dundee, Scotland menjalani pembedahan untuk mengeluarkan kanta lekap yang hilang 28 tahun lalu! Beliau tersilap membuat andaian apabila menyangka kanta lekapnya itu jatuh ketika terkena bulu tangkis.

Namun, wanita berkenaan yang kini berusia 42 tahun baru-baru ini mendapati sepanjang masa itu kanta lekap tersebut rupa-rupanya berada di kelopak matanya.

Menurut BBC, penemuan itu dibuat para doktor selepas pesakit tersebut, mengadu matanya bengkak.

Kes yang jarang berlaku itu dilaporkan dalam jurnal perubatan The BMJ.

Para pengkaji di hospital Ninewells melakukan ujian imbasan MRI selepas wanita itu dirujuk ke jabatan pakar mata oleh doktornya.

BBC melaporkan bahawa ujian MRI mengesahkan terdapat ketumbuhan berukuran 8 milimeter lebar, namun tiada kesan objek asing di dalamnya.

Walau bagaimanapun, ketika pembedahan dilakukan ketumbuhan itu pecah menunjukkan kanta lekap berkenaan.

Menurut pakar mata Sirjhun Patel, Lai-Ling Tan dan Helen Murgatroyd kelopak mata kiri wanita itu bengkak dan kelihatan layu.

Dr Patel dan rakan-rakannya menulis: "Apabila ditanya lebih lanjut, ibu pesakit teringat bahawa anaknya gemar bermain badminton ketika remaja dan mata kirinya pernah terkena bulu tangkis, 28 tahun lalu.

"Pada masa itu, beliau memakai kanta lekap RGP (Rigid Gas Permeable), dan kanta itu tidak pernah dijumpai selepas kejadian."

Kertas kajian itu menjelaskan bahawa mata wanita itu, menjadi bengkak menyusuli insiden tersebut. Bagaimanapun, bengkak tersebut berjaya dirawat oleh doktornya pada waktu itu, lapor BBC lagi.

- Agensi berita/NA/na

Top