Images
  • handcuff
    Gambar hiasan.

Jual bayi di Instagram, 4 warga Indonesia diberkas

SURABAYA: Empat rakyat Indonesia diberkas kerana dipercayai terbabit dalam operasi menjual bayi menerusi Instagram.

Sebuah akaun Instagram yang kini sudah dipadamkan, mendakwa sebagai agensi kebajikan keluarga dan memuat naik imej-imej wanita hamil, imbasan ultrabunyi dan bayi.

Pada masa yang sama, nombor telefon juga disediakan supaya para bakal pelanggan boleh menghubungi penjual melalui WhatsApp, kata polis Surabaya.

Polis menyatakan pihaknya berjaya memintas satu urus niaga tetapi masih mencari sekurang-kurangnya seorang bayi yang dijual.

"Orang-orang yang mahu mengambil anak angkat menggunakan akaun itu dan urus niaga dilakukan melalui WhatsApp," kata Kolonel Sudamiran, ketua detektif Surabaya, seperti yang dipetik oleh laman berita Detik.

Menurut Detik, akaun itu menyamar sebagai syarikat perundingan yang menawarkan khidmat menghuraikan masalah keluarga.

Kesemua empat individu yang dipercayai terlibat dalam urus niaga itu sudah diberkas dan menurut Encik Sudamiran, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun kerana melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak.

Instagram memberitahu agensi berita BBC pada Jumaat (12 Okt) bahawa ia sudah menghapuskan kandungan akaun itu sejurus selepas pihaknya dimaklumkan mengenai situasi berkenaan.

"Keselamatan pengguna Instagram adalah keutamaan kami. Dasar-dasar kami dengan jelas melarang pengguna daripada melakukan kegiatan jenayah dan ini termasuk memperdagang manusia," kata jurucakap Instagram.

Naib Presiden Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Rita Pranawati memberitahu BBC bahawa sebelum ini, terdapat beberapa kes pemerdagangan bayi di Indonesia.

"Tetapi ia jarang berlaku di Instagram. Ini merupakan cara baru," kata Cik Pranawati.

Meskipun motif para pembeli masih tidak jelas, Cik Pranawati berkata sesetengah orang yang mahu mengambil anak angkat mungkin melakukannya dengan cara haram kerana mereka tidak memenuhi kriteria bagi melakukannya dengan rasmi.

Beliau bagaimanpun berkata terdapat beberapa kes kanak-kanak "diambil sebagai anak angkat secara haram bagi kegiatan seks bawah umur". 

- Agensi berita/AI/ai

Top