Images
  • J&Js
    Bedak Johnson & Johnson dijual di kedai-kedai di Westminster, Colorado dalam gambar fail yang bertarikh 14 April 2009. (Gambar: REUTERS/Rick Wilking)

Johnson & Johnson diarahkan bayar S$6.5 bilion; bedak didakwa punca barah ovari

MISSOURI: Syarikat gergasi farmaseutikal Johnson & Johnson diarahkan membayar £3.6 bilion (S$6.5 bilion) kepada 22 wanita yang mendakwa produk bedak keluaran syarikat berkenaan adalah punca barah ovari.

Wales Online difahamkan syarikat berkenaan juga dikaitkan dengan 9,000 kes guaman melibatkan produk bedaknya. Johnson & Johnson menyatakan bahawa "ia sangat kecewa" dan merancang untuk mengemukakan rayuan.

Semasa perbicaraan, para plaintif menyatakan mereka menghidapi barah ovari selepas menggunakan bedak bayi dan produk bedak lain selama bertahun-tahun. Peguam mereka mendakwa bahawa syarikat itu tahu bahawa bedaknya dicemari asbestos sejak 1970-an namun ia gagal memberi amaran kepada para pembeli tentang risikonya, lapor Wales Online.

Asbestos adalah sejenis bahan yang diketahui sebagai punca barah apabila seseorang menghidu bahan itu.

Beberapa penyelidikan sudah dijalankan bagi mengkaji kaitan antara penggunaan bedak dengan barah ovari. Bagaimanapun, belum ada cukup bukti yang menunjukkan penggunaan bedak pada bahagian alat kelamin meningkatkan risiko barah ovari.

Menurut Wales Online, Johnson & Johnson bagaimanapun menafikan bahawa produknya mengandungi asbestos dan bertegas bahawa ia bukan punca barah.

Syarikat gergasi farmaseutikal itu menambah, beberapa kajian membuktikan bahawa bedaknya selamat digunakan dan menyifatkan keputusan hakim sebagai hasil "proses yang pada dasarnya tidak adil".  

- Agensi berita/AQ/aq

Top