Images
  • asrama
    Asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Islah Sungai Lampam terbakar pada petang 9 Ogos. 

Jeritan dua pelajar selamatkan rakan

TELUK INTAN: Jeritan dua pelajar menyelamatkan sebahagian pelajar perempuan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Islah Sungai Lampam, yang terbakar petang semalam (9 Ogos).

Bagaimanapun tiada kecederaan dalam kebakaran yang dikesan kira-kira 2.30 petang itu serta difahamkan ketika kejadian, sebahagian pelajar baru sahaja pulang ke asrama berkenaan kerana sesi pembelajaran sudah berakhir.

Saksi kejadian Nurul Nadiah Ahmad Nazeli, 15 tahun, ketika ditemui berkata beliau terlihat asap kecil dari tengah blok atas asrama tiga tingkat sebelum memanggil rakannya Nur Fazira Yakaria, 15, yang ketika itu baru selesai menunaikan solat Zohor di surau asrama itu.

“Masa itu saya baru sahaja pulang dari menikmati juadah tengah hari di kantin sekolah dan menuju ke surau menunaikan solat Zohor. 

Tanpa berlengah saya dan Fazira terus menjerit daripada bawah memanggil rakan-rakan yang sedang beristirehat di tingkat dua supaya turun kerana bahagian atas yang juga bilik belajar kami waktu malam sedang terbakar," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya lagi, rakan-rakannya yang mendengar jeritannya itu segera turun menyelamatkan diri sambil memastikan tiada penghuni asrama di tingkat dua ketinggalan.

Sementara itu Pengarah Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri Perak Yahaya Madis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 petang dan 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Api dapat dikawal pada pukul 3.27 petang dan kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 4 petang,” katanya.

Tambah beliau, punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan pihaknya dimaklumkan ruangan kebakaran merupakan kelas belajar malam bagi pelajar-pelajar perempuan asrama sekolah itu yang berjumlah 63 orang.

- BERNAMA/AQ/aq

Top