Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah haji Kanada, pelajar Arab Saudi, buntu

Penduduk Islam Kanada yang menunaikan haji di Makkah berdepan kelewatan untuk pulang ekoran pertikaian diplomatik dengan Arab Saudi yang juga menyebabkan ribuan pelajar dari Saudi di Kanada bergegas menjual aset dan kembali ke tanah air.

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah haji Kanada, pelajar Arab Saudi, buntu

(Gambar fail: Muhammad Hamed/ Reuters)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 08:35AM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 08:38AM

TORONTO: Penduduk Islam Kanada yang menunaikan haji di Makkah berdepan kelewatan untuk pulang ekoran pertikaian diplomatik dengan Arab Saudi yang juga menyebabkan ribuan pelajar dari Saudi di Kanada bergegas menjual aset dan kembali ke tanah air.

Mereka perlu pulang bagi memenuhi tempoh sebulan yang ditetapkan Arab Saudi.

Sedang kebuntuan itu berterusan, Kanada berusaha mendapatkan bantuan daripada sekutunya termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk sokongan serta berbincang dengan Arab Saudi bagi menyelesaikan pertikaian itu.

Riyadh memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan secara mendadak awal bulan ini sebagai tindak balas terhadap tweet Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland yang menuntut pembebasan aktivis masyarakat sivil di Saudi.

Riyadh juga menamatkan program pendidikan dan perubatan yang disokongnya di Kanada, menyebabkan pelajar Saudi bergegas pulang.

Di Halifax, Masjid Ummah menganjurkan jualan lelongan untuk membantu pelajar menjual perabot, barangan elektronik dan kereta mereka.

“Sesetengah mereka hanya datang seminggu lalu dan bersedia untuk pulang. Ada juga pulang ke Arab Saudi untuk cuti musim panas dan datang hanya untuk menjual barangan milik mereka,” kata imam masjid, Ustaz Abdallah Yousri.

Sehingga akhir Jun lalu, terdapat lebih 5,100 pelajar Arab Saudi dengan permit pelajar sah di institusi posmenengah Kanada.

Ramai Muslim Kanada sudah menempah penerbangan dengan Saudia, syarikat penerbangan rasmi Arab Saudi untuk menunaikan haji di Makkah, berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos tahun ini.

Meskipun penerbangan Saudia ke Makkah sebelum 13 Ogos tidak terjejas, penerbangan pulang menjadi kebimbangan ramai.

“Kami gementar sebagai satu keluarga kerana kami tidak mahu beliau terkandas di lapangan terbang,” kata Encik Jawad Chaudhry, seorang broker hartanah di Hamilton mengenai ibunya yang menunaikan haji menaiki penerbangan Saudia.

TIDAK BOLEH LAGI BERGANTUNG KEPADA AS

Seorang jurucakap Menteri Luar memberitahu Reuters, Cik Freeland sudah bercakap dengan pegawai Kesatuan Eropah, Jerman, Sweden dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha mendapatkan sokongan.

“Kami mengadakan dialog berterusan dengan Arab Saudi, kami tahu kami perlu mengekalkan dialog terbuka dengan mereka bagi menyelesaikan isu ini,” tambahnya.
Isu terbesar adalah masa depan hubungan luar dalam dunia di mana Kanada tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan sekutu utamanya, kata Roland Paris, mantan penasihat hal ehwal luar kepada Perdana Menteri Liberal Justin Trudeau.

Jabatan Negara Amerika minggu lalu menggesa Kanada dan Arab Saudi menggunakan diplomasi untuk menyelesaikan pertikaian mereka yang tidak ditimbulkan dalam panggilan telefon antara Setiausaha Negara Mike Pompeo dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Isnin lalu (13 Ogos). 

Sumber : Reuters/EM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan