Images
  • Masjid Wilayah Persekutuan Msia
    Masjid Wilayah Persekutuan Malaysia. (Gambar: Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Facebook)

Jawatankuasa Tertinggi jemput lebih 100 institusi bagi perkasa Islam

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan akan memanggil lebih 100 institusi berkaitan Islam dan pertubuhan politik dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklum balas berhubung kajian kedudukan pengurusan hal ehwal Islam, menurut satu laporan Malaysiakini.

Pengerusinya, Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata bahawa kesemuanya akan dijemput untuk menghantar memorandum dan membuat pembentangan bagi melengkapkan maklumat yang membolehkan jawatankuasa itu menyediakan laporan lengkap untuk menambah baik institusi Islam.

"Kami juga akan memberi peluang kepada jabatan negeri, mufti, individu, selain meminta pandangan dan sumbang saran dalam kalangan orang bukan Islam serta golongan yang mempunyai kepakaran terdiri daripada ahli akademik dan wartawan.

"Jawatankuasa ini turut mengalu-alukan sebarang memorandum secara bertulis daripada masyarakat awam yang boleh dikemukakan kepada setiausaha jawatankuasa," kata beliau kepada pihak media dalam satu sidang media, di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Kuala Lumpur, semalam (9 Ogos).

Kata beliau lagi, semua persidangan jawatankuasa itu termasuk urusan temu bual dijalankan dan memorandum yang dihantar kepada pihaknya, diklasifikasikan sebagai tertutup serta tidak dibenarkan untuk siaran umum.

Tambah beliau, jawatankuasa tersebut akan bersidang selama lima bulan sebelum membentangkan laporan merangkumi penemuan dan penilaian menyeluruh aspek pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, bersama usulan penambahbaik kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, Dr Afifi Al-Akiti mengesahkan pihaknya juga akan mengkaji dan menyusun semula badan berkaitan Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Ya, ya memang betul kita melihat untuk penstrukturan semula," kata beliau.

Sebelum ini, beberapa individu, parti dan NGO mendakwa dasar negara yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi melindungi agama Islam dan Melayu, tetapi sebaliknya menuju kepada sekularisme menyeluruh.

Malaysiakini melaporkan bahawa antara yang menjadi isu, termasuk saranan menutup sekolah tahfidz, hak sama rata untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pelantikan bukan Melayu bagi mengisi beberapa jawatan kanan kerajaan.

Untuk rekod, Raja-Raja Melayu pada 30 Julai lalu, berkenan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi tujuan penambahbaikan institusi Islam di peringkat persekutuan.

Jawatankuasa itu disertai lapan anggota, termasuk wakil Universiti Islam Antarabangsa Prof Emeritus, Dr Mohd Kamal Hassan, bekas Mufti Johor, Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jakim, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan dua pelantikan baru, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Sabah, Aidi Moktar dan Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi, lapor Malaysiakini.

- Agensi berita/HS/hs

Top