Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jack Ma kagum pengetahuan Mahathir tentang teknologi

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma, yang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad hari ini (18 Jun), terkejut dengan pengetahuan Perdana Menteri Malaysia itu tentang teknologi.

Anggaran Waktu Membaca:
Jack Ma kagum pengetahuan Mahathir tentang teknologi

Hartawan China, Jack Ma. (Gambar: AFP/Saul Loeb)

Diterbitkan : 18 Jun 2018 12:49PM Dikemas Kini : 18 Jun 2018 12:55PM

PUTRAJAYA: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma, yang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad hari ini (18 Jun), terkejut dengan pengetahuan Perdana Menteri Malaysia itu tentang teknologi.

“Saya terperanjat dengan pengetahuan beliau tentang teknologi,” kata Encik Ma kepada Bernama selepas pertemuan itu yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri.

Menurut beliau, pada pertemuan selama sejam bermula pada kira-kira 9 pagi itu, mereka berkongsi banyak idea dan berbincang tentang cara untuk membebaskan lebih banyak rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan serta memberi bantuan kepada lebih banyak golongan muda dan perniagaan kecil.

"Pertemuan ini sungguh bermanfaat,” kata Encik Ma, yang berada di ibu negara untuk merasmikan sebuah pejabat Alibaba di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Encik Ma berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lalu untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama dunia yang ditubuhkan bagi merangsang pertumbuhan e-dagang melalui penyediaan platform serba canggih bagi syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan masing-masing.

Encik Ma dilaporkan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada majlis jamuan tidak rasmi malam semalam (17 Jun).

Laporan media menyebut bahawa Encik Ma sebenarnya berhasrat mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir awal bulan ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Dr Mahathir mahu memberi fokus terhadap urusan menyusun kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru ditubuhkan.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), yang mentadbir negara sebelum ini, melantik Encik Ma sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan.

Pertemuan Encik Ma dan Dr Mahathir diadakan ketika kerajaan PH berikrar untuk mengkaji semula beberapa projek yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini dengan sokongan Beijing kerana kerajaan baru lebih berminat mengadakan kerjasama ekonomi dengan Jepun. Bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia itu dilaporkan berkata projek DFTZ akan diteruskan.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan