Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isyarat 'ping' dipercayai dari kotak hitam QZ8501 dikesan

Pasukan mencari dan menyelamat mengesan isyarat 'ping' dalam usaha mereka untuk mengesan kotam hitam pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Isyarat 'ping' dipercayai dari kotak hitam QZ8501 dikesan

Para anggota Angkatan Tentera Laut Indonesia menyediakan alat kelengkapan untuk mengangkut ekor pesawat AirAsia QZ8501, daripada kapal KRI Banda Aceh. (Gambar: AFP/ POOL / ADEK BERRY)

Diterbitkan : 09 Jan 2015 01:18PM Dikemas Kini : 09 Jan 2015 06:32PM

PANGKALAN BUN: Pasukan mencari hari ini mengesan isyarat 'ping', yang dipercayai daripada kotak hitam pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa.

Seorang pengarah Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS), Encik S.B. Supriyadi, berkata: "Sebuah kapal mengesan isyarat-isyarat 'ping' itu. Pasukan penyelam sedang cuba mendekatinya. Lokasi di mana isyarat itu dikesan dilaporkan berdekatan tempat ekor pesawat ditemui."

Kelmarin, ekor pesawat QZ8501 dikesan di dasar laut pada kedalaman 30 meter. BASARNAS sudah memuatkan belon pengangkat ke atas helikopter, menjelang satu operasi untuk mengangkut bahagian ekor itu, namun usaha mereka belum berjaya akibat arus laut yang kuat dan bergelora.

Penemuan kotak hitam atau perakam data penerbangan dianggap penting kerana ia boleh menentukan punca nahas. 

Bagaimanapun, para pegawai berkata, kotak hitam itu tidak lagi berada di bahagian ekor pesawat dan para penyelam sedang mengesahkan kedudukannya.

MUNCUNG PESAWAT DITEMUI?

Encik Supriyadi berkata sebuah lagi objek dikesan hari ini, yang kemungkinan muncung pesawat malang itu, namun pasukan mencari belum dapat mengesahkan perkara itu.

Beliau menambah: "Kami sudah mengerahkan kenderaan dasar laut berkawalan jauh, namun darjah penglihatan tidak begitu baik, dan kami sedang mengerahkan pasukan penyelam."

Pesawat AirAsia QZ8501 hilang dari skrin pantauan radar pada 28 Disember lalu, semasa dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura, dengan membawa 162 penumpang dan kru.

Sebanyak 48 mayat sudah ditemui sejauh ini.

Sumber : AFP/Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan