Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isu bekalan air bersih, tanah antara isu belenggu masyarakat orang asli Seletar

Bekalan air bersih antara isu besar yang membelenggu kesinambungan hidup kira-kira 300 masyarakat Orang Asli Seletar Laut dan Darat di Kampung Pasir Salam, dekat Ulu Tiram.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu bekalan air bersih, tanah antara isu belenggu masyarakat orang asli Seletar

(Gambar: pixabay/ pexels)

Diterbitkan : 17 Oct 2018 12:07AM Dikemas Kini : 17 Oct 2018 12:10AM

JOHOR BAHRU: Bekalan air bersih antara isu besar yang membelenggu kesinambungan hidup kira-kira 300 masyarakat Orang Asli Seletar Laut dan Darat di Kampung Pasir Salam, dekat Ulu Tiram.

Selain itu, mereka juga memerlukan tanah yang diwartakan khas buat mereka untuk tinggal dan bercucuk tanam terutama apabila musim tengkujuh.

Justeru itu, kerajaan negeri Pakatan Harapan yang diterajui Menteri Besar Johor Encik Osman Sapian diharapkan dapat membantu dalam membela nasib masyarakat yang tidak terbela lebih 60 tahun itu.

Tok Batin Laile Lei berkata pihaknya sudah berulang kali mengutarakan masalah ketiadaan bekalan air bersih serta tanah yang khas diwakafkan kepada masyarakat mereka kepada kerajaan negeri sebelumnya (kerajaan Barisan Nasional).

"Saya terfikir (suatu hari nanti) takkan kita tiada kampung yang diwartakan khas untuk masyarakat kita...sampai bila? Kalau sampai macam ini, mungkin tiga atau empat keturunan lepas saya pun, macam tu jugak, takkan tiada tanah,” katanya ketika ditemui para wartawan, hari ini (16 Okt).

“Itulah, kalau boleh, saya mahukan tanah diwartakan kepada masyarakat orang Asli kita, pasal kita dah lama tunggu, dah 60 lebih tahun, tiada berita,” kata ketua masyarakat berusia 56 tahun itu.

Menurut beliau, tanah yang dijanjikan untuk diwartakan adalah kira-kira lima hektar.

Sementara itu, Tok Laile berkata bekalan air setakat ini adalah dari bekas lombong berhampiran tapi hanya boleh digunakan untuk mandi dan membasuh baju dan tidak boleh digunakan sebagai bekalan air bersih untuk memasak atau minum.

Sumber air bersih katanya, diperolehi dari SAJ Ranhill yang menghantar bekalan sebulan dua kali sahaja, yang tidak mencukupi bagi menampung keperluan yang semakin meningkat di kampung berkenaan.

Bagi Bibi A/P Changthaanam, beliau berharap agar kerajaan negeri membantu mereka dari segi mendapatkan permit untuk menjual hasil laut selain peralatan menangkap ikan seperti bot, jaring dan sebagainya.

“Sebelum ini, tangkapan kami terpaksa dijual kepada orang tengah. Di situ, pendapatan kami berkurangan sebab harga dengan orang tengah pun kurang, jadi kami di situ dah susah,” tambah wanita yang mempunyai anak lima itu.

Selain itu, dengan adanya tanah, masyarakat orang Asli Seletar itu yang hampir kesemuanya nelayan, juga boleh bercucuk tanam terutamanya apabila tiba musim tengkujuh.

Bagi aktivis Encik Ramesh Arumugam Chettiar, kerajaan negeri PH diharapkan turun padang untuk meninjau sendiri keadaan masyarakat orang Asli di sini memandangkan keadaan mereka yang disifatkan serba kekurangan.

“Ada segelintir mereka yang dah serik dengan kehidupan seperti ini dan kembali ke hutan menyebabkan ada anak-anak mereka tidak bersekolah,” tambah beliau.

Beliau yang juga Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, juga mencadangkan agar peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dibebaskan dari kekangan kerajaan negeri agar lebih bebas membuat keputusan.

“JAKOA jangan jadi pak turut. Kalau JAKOA bebas, saya rasa fungsi JAKOA akan lebih ketara (dalam membantu masyarakat orang Asli),” tambah beliau. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan