Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel langgar hak beragama dengan penutupan Al-Aqsa

Tindakan tentera Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan menghalang umat Islam Palestin memasuki masjid itu melanggar Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966 yang ditandatangani Israel pada 3 Okt, 1991.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel langgar hak beragama dengan penutupan Al-Aqsa

Haram Asy-Shariff di pekarangan Masjidil Aqsa di Jerusalem. (Gambar: AFP/Thomas Coex)

Diterbitkan : 17 Jul 2017 10:49PM Dikemas Kini : 17 Jul 2017 10:58PM

KUALA LUMPUR: Tindakan tentera Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan menghalang umat Islam Palestin memasuki masjid itu melanggar Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966 yang ditandatangani Israel pada 3 Okt, 1991.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tindakan itu melanggar Artikel 18(1)-(3) ICCPR yang memberi jaminan kebebasan beragama kepada individu dan masyarakat dan merupakan penghinaan jelas terhadap undang-undang antarabangsa. 

"Hak penduduk Palestin juga dijamin oleh Perkara 27 Konvensyen Geneva mengenai keperluan menghormati hak-hak dan amalan beragama dalam sebuah masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini (17 Jul).

Menurut laporan berita, polis Israel menutup Masjid al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di pekarangan masjid itu.

Datuk Seri Jamil Khir berkata umat Islam berdiri teguh menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menutup Masjid al-Aqsa dan menafikan hak umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat malah ia adalah tindakan yang melampau dan melanggar undang-undang antarabangsa.

"Tindakan terkutuk Israel ini telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia memandangkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama dalam Islam dan masjid suci ketiga bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

"Masjid Al-Aqsa sebenarnya adalah lambang maruah umat Islam yang mesti dipertahankan dan dipelihara kesuciannya," katanya.

Datuk Seri Jamil Khir berkata walau apa pun konflik yang berlaku di antara Israel dan Palestin, ia tidak boleh melibatkan Masjid Al-Aqsa yang suci, justeru Malaysia mendesak Israel membuka semula Masjid Al-Aqsa bagi mengembalikan hak umat Islam untuk beribadat kepada Allah SWT.

Israel juga perlu menghentikan segala bentuk penindasan terhadap umat Islam di Palestin maka itu umat Islam di Malaysia diseru berdoa agar Allah SWT menyelamatkan Masjid Al-Aqsa daripada kezaliman Israel, katanya.

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan