ISIS dakwa bertanggungjawab tembak polis di Champs Elysees
Seorang suspek pengganas menembak mati seorang pegawai polis dan menyebabkan dua lagi pegawai cedera dalam insiden yang berlaku semalam.
PARIS: Seorang suspek pengganas menembak mati seorang pegawai polis dan menyebabkan dua lagi pegawai cedera dalam insiden yang berlaku semalam (20 Apr) di Champs Elysees, Paris dalam serangan yang didakwa bertanggungjawab oleh ISIS beberapa hari sebelum pilihan raya presiden Perancis.
Penyerang menembak menggunakan senjata automatik ke arah sebuah kereta polis di kawasan yang popular di dunia itu sekitar pukul 9.00 malam (pukul 3.00 pagi, Jumaat waktu Singapura), membuat para pelancong dan pengunjung berlari bertempiaran menyelamatkan nyawa mereka.
“Penyerang di Champs Elysees di tengah Paris adalah Abu Yussef, rakyat Belgium yang merupakan salah seorang militan ISIS,” menurut kumpulan pelampau itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi propagandanya Amaq.
Penyerang itu dikenali oleh polis anti-pengganasan Perancis, sumber-sumber memberitahu AFP, dan serbuan dijalankan di tempat tinggalnya di bahagian timur Paris.
Para pemantau sudah lama bimbang bahawa satu serangan akan dilancarkan menjelang pilihan raya Ahad ini (23 Apr) di Perancis, menyusuli beberapa keganasan oleh kumpulan pelampau sejak tahun 2015 yang mengorbankan lebih 230 nyawa.
Insiden tembakan itu berlaku dua hari setelah dua lelaki diberkas di bahagian selatan Marseille dengan senjata dan bahan letupan yang disyaki bagi melancarkan serangan untuk mengganggu kempen yang berakhir Ahad ini.
Presiden Perancis, Francois Hollande sekali lagi berucap kepada rakyat setelah serangan tersebut, berjanji “pihak berkuasa akan berjaga-jaga, khususnya berkaitan proses pilihan raya” dan memberi penghormatan kepada polis berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.