Images
  • getty image wanita
    Satu tunjuk perasaan di India (Gambar: Getty Images)

Ini antara negara paling berbahaya bagi wanita, menurut para pakar

AMERIKA SYARIKAT: Satu senarai baru 10 negara paling berbahaya bagi kaum wanita diterbitkan baru-baru ini.

Yayasan Thomson Reuters pada 26 Jun menerbitkan senarai tersebut hasil tinjauan yang diadakan antara 26 Mac dan 4 Mei ke atas 550 pakar isu wanita dari serata dunia, menurut laporan Huffington Post.

Para pakar mengambil kira negara yang mempunyai kadar tinggi bagi keganasan terhadap wanita, kekurangan sumber ekonomi, isu penjagaan kesihatan dan tradisi yang mengawal peranan gender secara ketat.

India disenaraikan negara paling berbahaya bagi wanita pada masa ini. Sepanjang sedekad lalu, bilangan serangan seksual terhadap wanita meningkat di negara itu.

Menurut Huffington Post lagi, ini termasuk insiden rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang wanita Delhi berusia 23 tahun pada 2012. Baru-baru ini negara itu menjadi kucar-kacir apabila seorang budak lapan tahun dirogol dan dibunuh sekumpulan lapan lelaki.

Laporan Reuters turut menyatakan India diletakkan di tempat pertama atas tiga sebab - "risiko yang dihadapi wanita akibat serangan dan gangguan seksual, amalan budaya dan tradisi dan penyeludupan manusia untuk tujuan buruh, penghambaan seks dan eksploitasi."

Satu-satunya negara Barat yang termasuk dalam senarai ini adalah Amerika Syarikat, di tempat ke-10.

Menukil Reuters itu lagi, Huffington Post melaporkan yang Amerika Syarikat dimasukkan dalam senarai kerana keganasan seksual yang menular, seperti "rogol, gangguan seksual, hubungan seks secara paksa dan kurang akses ke proses keadilan bagi kes rogol."

Afghanistan, Syria, Somalia dan Arab Saudi masing-masing mengambil tempat kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Reuters menarik perhatian bahawa banyak negara dalam senarai ini sedang pulih daripada perang saudara, yang meningkatkan risiko yang dihadapi kaum Hawa.

Berikut adalah senarai lengkap 10 negara paling berbahaya bagi wanita:

1. India
2. Afghanistan
3. Syria
4. Somalia
5. Arab Saudi
6. Pakistan
7. Republik Demokratik Congo
8. Yaman
9. Nigeria
10. Amerika Syarikat 

- Agensi berita/TQ/tq

Top