Images
  • jho low
    Kapal persiaran mewah, Equanimity, yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low. (Gambar: BERNAMA)

IGP: PRDM masih buru Jho Low

KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi memburu ahli perniagaan Low Taek Jhow, atau yang lebih dikenali sebagai Jho Low, berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

"Siasatan terhadapnya sedang dijalankan seperti biasa," kata Encik Mohamad Fuzi kepada para wartawan apabila ditanya mengenai perkembangan berhubung usaha memburu Jho Low.

Sebelum ini, laman blog Sarawak Report melaporkan bahawa sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan laporan berita mengenai penangkapan Jho Low di China. Laporan itu bagaimanapun tidak mendapatkan pengesahan daripada sebarang pihak mengenai penangkapan tersebut.

Pasport Jho Low sudahpun dibatalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada 15 Jun. Ini atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatannya terhadap skandal 1MDB.

Awal dari itu, Encik Mohamad Fuzi mengiringi Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad semasa beliau melakukan lawatan ke kapal persiaran mewah, Equanimity, yang berlabuh di Terminal Pusat Pelayaran Boustead.

Kapal persiaran mewah itu, yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low dan skandal 1MDB, tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes di mana 17 pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dipercayai terlibat dalam kesalahan menyalahgunakan dana Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) sebanyak RM3.5 juta (S$1.18 juta), Encik Mohamad Fuzi berkata bahawa kes berkenaan sudahpun diserahkan kepada SPRM.

Beliau menambah bahawa PDRM tidak terlibat dalam siasatan kes tersebut.

"Individu-individu yang terlibat juga bukan kakitangan pihak polis kami, mereka hanya polis tambahan," kata Encik Mohamad Fuzi.

Pada Rabu (8 Ogos), seramai 17 pengawal keselamatan JPM direman selama lima hari bagi membantu dalam siasatan berhubung kes tersebut.

Antara mereka yang direman adalah seorang pegawai keselamatan gred 52 manakala yang lain adalah pengawal keselamatan gred 11 hingga 38. 

- BERNAMA/AI/ai

Top