Ibu malang kehilangan 2 anak sekaligus dalam kejadian lemas
Tiada ungkapan dapat menggambarkan betapa luluhnya hati seorang ibu sebaik menerima khabar dua anak lelaki yang menjadi penyeri dalam keluarga selama ini, lemas dalam kejadian di Muara Sungai Balok.
KUANTAN: Tiada ungkapan dapat menggambarkan betapa luluhnya hati seorang ibu sebaik menerima khabar dua anak lelaki yang menjadi penyeri dalam keluarga selama ini, lemas dalam kejadian di Muara Sungai Balok.
Wan Norhuda Wan Chik, 41 tahun, berkata sebaik seorang jiran datang ke rumah menyuruhnya datang ke kawasan pantai tidak jauh daripada kediamannya itu, beliau mula tidak sedap hati dan berasa ada sesuatu yang menimpa kedua-dua anaknya itu.
"Apabila tiba di pantai, saya lihat mayat Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah, 11, terbaring di pantai.
"Sementara mayat anak bongsu saya, Muhammad Hafizul Iman, 10, masih belum ditemui," katanya.
Cik Wan Norhuda yang mempunyai empat orang anak lagi yang kesemuanya perempuan, tidak menyedari bila anak kelima dan keenamnya itu keluar dari rumah dan itu kali pertama mereka ke pantai kerana sebelum ini, mereka sering dilarang ke sana.
Dalam kejadian sekitar 5.00 petang pada Jumaat (10 Ogos), dua beradik murid Sekolah Kebangsaan Balok itu lemas selepas mandi bersama dua rakan mereka di Muara Sungai Balok.
Bagaimanapun dua rakan mangsa, Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi, 11, dan Mohamad Lokman Hakim Suhamizan, 10, berjaya diselamatkan orang awam yang berada di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Mohd Razali Mustafar berkata pihak sekolah akan menguruskan soal tuntutan insurans kedua-dua mangsa tersebut bagi meringankan beban keluarga mereka.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, yang menziarahi keluarga mangsa, turut melahirkan rasa simpati dan menzahirkan komitmen untuk membantu keluarga mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.