Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hujan, ribut pasir membadai Arafah

Ribut pasir berserta hujan melanda Arafah sedang umat Islam mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci.

Anggaran Waktu Membaca:
Hujan, ribut pasir membadai Arafah

Jemaah haji hadapi dugaan ribut pasir di Makkah. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 20 Aug 2018 10:52AM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 10:59AM

MINA: Ribut pasir berserta hujan melanda Arafah sedang umat Islam mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci.

Saudi Gazette melaporkan bahawa para jemaah berdepan dengan ribut pasir pada petang semalam (19 Ogos) waktu tempatan manakala cuaca terik dijangka berterusan hari ini (20 Ogos).

Menurut ramalan pihak berkuasa tempatan, ribut pasir dan hujan akan melanda tapak-tapak suci dan Makkah sehingga malam nanti (20 Ogos).

Seorang jurucakap pihak berkuasa berkenaan, Encik Hussain Al-Qahtani mengatakan bahawa cuaca tidak menentu akan berterusan disebabkan suhu dan kadar kelembapan yang tinggi dan ini akan memuncak pada sebelah petang.

Kawasan berkenaan dijangka mengalami cuaca panas terik sehingga 43 darjah selsius manakala kadar kelembapan akan mencecah 65 peratus. Jarak penglihatan pula akan berkurangan kepada tujuh kilometer. 

Dalam pada itu, Saudi Gazette melaporkan, insiden tersebut tidak menjejas keselamatan para jemaah.

"Khemah-khemah rosak sedikit dan ia sudah diperbaiki. Keseluruhannya, semua stabil," kata Encik Muhammad Al-Qamash, seorang jurucakap tempatan. Beliau turut menggesa para jemaah mengikuti arahan-arahan keselamatan yang sudah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Antara yang berada di Padang Arafah semasa ribut pasir membadai ialah rombongan jemaah dari Malaysia yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.

"Masih di Makkah menanti perjalanan ke Arafah. Ribut pasir sebentar tadi di Makkah dan gambar di Arafah. Kami terpaksa menangguhkan perjalanan...doakan kami.." tulisnya melalui Instagram seperti ditukil mStar.

Berita Harian Malaysia turut melaporkan bahawa kejadian ribut pasir yang jarang berlaku ketika musim panas di Makkah turut membadai penempatan jemaah haji yang bersiap sedia untuk berwukuf di Padang Arafah lewat petang semalam (19 Ogos).

Ekoran angin kencang yang merosakkan khemah jemaah, bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah di Arafah.

Ia bermula ketika matahari mulai terbenam kira-kira jam 6.30 petang (waktu tempatan) dalam keadaan jemaah haji tiada persediaan serta tidak menyangka kawasan itu akan dibadai ribut, lapor mStar.

Bagaimanapun ribut yang melanda tidak menghalang para jemaah haji daripada melakukan wukuf. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan