Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 8 bilion penumpang pesawat pada 2036: IATA gesa dipatuhi piawai global

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa pihak berkepentingan dalam penerbangan mematuhi piawai global dan menggunakan data operasi untuk menampung tambahan 3.8 bilion penumpang menjelang 2036.

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 8 bilion penumpang pesawat pada 2036: IATA gesa dipatuhi piawai global

Logo IATA. (Gambar: IATA/ Facebook)

Diterbitkan : 18 Apr 2018 09:59PM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 10:03PM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa pihak berkepentingan dalam penerbangan mematuhi piawai global dan menggunakan data operasi untuk menampung tambahan 3.8 bilion penumpang menjelang 2036.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata dalam tempoh 20 tahun akan datang, jumlah penumpang dijangka melonjak hampir dua kali ganda daripada empat bilion pada 2017.

"Menguruskan pertumbuhan ini, selain menjadikan penerbangan lebih selamat, akan menjadi satu usaha yang besar," katanya dalam kenyataan.

Encik Juniac berkata piawai global dan amalan terbaik penting untuk terus melakukan penambahbaikan dari aspek keselamatan seperti dilihat daripada prestasi syarikat penerbangan dalam pendaftaran Audit Keselamatan Operasi (IOSA) IATA.

“Kini pada tahun ke-15, IOSA merupakan piawai global yang diiktiraf bagi keselamatan operasi. Sepanjang lima tahun yang lalu, kadar kemalangan bagi syarikat penerbangan dalam pendaftaran IOSA hampir tiga kali lebih baik daripada syarikat penerbangan bukan IOSA," katanya.

Beliau berkata IOSA turut melalui transformasi digital yang membolehkan interaksi yang lebih lancar dengan inisiatif, piawai, dan amalan operasi keselamatan industri, selain penanda aras.

Mengenai penggunaan data operasi, Encik Juniac berkata program Pengurusan Data Penerbangan Global (GADM) IATA kini menyimpan rekod maklumat daripada lebih 470 organisasi.

"Lebih 90 peratus daripada ahli IATA menyumbang kepada sekurang-kurangnya satu daripada pangkalan data GADM,” katanya.

Selain itu, Encik Juniac berkata IATA turut membangunkan pangkalan data global mengenai laporan keadaan gelora semasa penerbangan untuk menyediakan syarikat penerbangan dengan kaedah kesedaran situasi yang dipertingkatkan.

“Apabila repositori data mengenai keadaan gelora beroperasi awal tahun depan, kami menjangka akan menyaksikan penurunan yang ketara dari segi kecederaan berkaitan keadaan gelora," katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan