Images
  • Lombok quake
    Pasukan penyelamat di Lombok. (Gambar: ADEK BERRY / AFP)

Gempa di Lombok jejas teruk sektor pelancongan

LOMBOK: Hotel-hotel di Lombok yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi pada Ahad lalu, merancang untuk kembali beroperasi secepat mungkin.

Ia bagi menarik semula ketibaan para pelancong untuk mengurangkan kesan bencana alam itu terhadap ekonomi tempatan.

Kebanyakan hotel di kawasan pantai Senggigi yang terkenal dalam kalangan pelancong kini ditutup untuk menjalani kerja-kerja pembaikan.

Lazimnya, bulan Ogos merupakan kemuncak musim pelancongan di pulau Lombok.

Namun, kebanyakan pantainya yang indah dan bersih kini sunyi tanpa pengunjung dan bot-bot yang selalu padat membawa penumpang, tersadai.

Ribuan pelancong sudahpun meninggalkan pulau tersebut selepas gempa melanda, yang meragut nyawa ratusan orang.

Sektor pelancongan merupakan salah satu tunggak ekonomi Lombok. Pulau berkenaan juga merupakan destinasi pelancongan kedua paling popular di Indonesia, selepas Bali.

Bagi menarik semula kedatangan pelancong, hotel-hotel di kawasan Senggigi kini bekerjasama agar kerja-kerja pembaikan dapat segera dilakukan.

Pihak berkuasa Indonesia menyatakan bahawa kerosakan aset-aset sahaja akibat gempa itu dianggarkan bernilai lebih AS$69 juta (S$94 juta).

Ia tidak termasuk kehilangan sumber pendapatan bagi ramai pekerja yang bergantung kepada industri pelancongan Lombok.

Beberapa bulan akan datang dijangka amat mencabar bagi Lombok, sedang ia cuba bangkit semula daripada kesan gempa itu.

Namun, masih ada berasa yakin bahawa keindahan serta suasana Lombok yang tenteram, akan dapat menarik semula para pelancong ke pulau itu.  

- CNA/NT/hs

Top