Images
  • lawyer
    Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB memberitahu Tan Hock Chuan & Co memohon untuk menarik diri daripada mewakili syarikat itu. (Gambar: BERNAMA)

Firma guaman tarik diri wakili 1MDB dalam saman terhadap Rosmah

KUALA LUMPUR: Firma guaman yang mewakili 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam saman mantan Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta (S$36.6 juta) yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB, menarik diri daripada mewakili 1MDB.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB memberitahu wartawan bahawa firma guaman itu, Tan Hock Chuan Co, memohon untuk menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami... pada masa ini 1MDB tidak mempunyai peguam, tetapi kami akan memaklumkan syarikat berkenaan,” katanya kepada wartawan selepas bertemu dengan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim semalam (17 Mei).

Dalam pada itu, peguam Damien Chan yang mewakili Encik Khairuddin berkata mahkamah menangguhkan pendengaran yang dipohon defendan, Datin Seri Rosmah, Low Taek Jho atau Jho Lo dan 1MDB untuk membatalkan saman Khairuddin, kepada 21 Jun untuk pengurusan kes bagi pihak terlibat mengemas kini status masing-masing.

Semalam (17 Mei), mahkamah dijadualkan mendengar permohonan daripada tiga defendan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Encik Khairuddin terhadap mereka.

Defendan-defendah memfailkan permohonan itu pada 7 September 2017, dengan alasan Encik Khairudin tidak mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman terhadap mereka.

Khairuddin memfailkan saman pada 16 Ogos 2017 dan mendakwa antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low menerusi ejennya membeli set barang kemas itu daripada peniaga barang kemas, New York Lorraine dengan nilai AS$27.3 juta (S$36.6 juta). Beliau mendakwa wang yang digunakan diambil daripada 1MDB.

Encik Khairuddin seterusnya mendakwa barang kemas berkenaan, dalam bentuk berlian berwarna merah jambu bernilai AS$23 juta (S$30 juta) dan rantai leher bernilai AS$4.3 juta (S$5.7 juta), diterima Datin Seri Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Oleh demikian, beliau memohon mendapatkan perintah mahkamah agar Datin Seri Rosmah memulangkan barang kemas berkenaan kepada 1MDB dan Jho Low membayar jumlah wang yang didakwa diambil daripada 1MDB, di samping ganti rugi, kos dan pelepasan lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.   

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top