Images
  • dutch  lady
    Infografik Dutch Lady. 

Dutch Lady Curious selamat, tidak kurang mutu meski netizens dakwa alahan kulit

KUALA LUMPUR: Penemuan awal proses kawalan kualiti dalaman Dutch Lady Malaysia mengesahkan bahawa produk susu Dutch Lady Curious (900g) dengan nombor kelompok 1023C7WA tidak mempunyai unsur kekurangan dari segi kualiti dan selamat untuk diminum, menurut laporan AstroAWANI.

Menurut Dutch Lady Malaysia dalam satu kenyataan, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh makmal dalaman syarikat serta pusat ujian bebas sebelum hasil kajian rasmi didedahkan.

“Kami sudah mengambil sampel susu dari pelanggan terjejas dan menghantar ke makmal dalaman dan pusat ujian bebas bagi mengkaji kualiti susu,” kata syarikat tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan Dutch Lady Malaysia hari ini (13 Feb) menjawab dakwaan di media sosial berhubung alahan kulit yang didakwa dialami oleh kanak-kanak selepas meminum susu berkenaan.

“Dutch Lady juga sudah bertemu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bekerjasama rapat dalam usaha mengatasi perkara ini. Keputusan penuh akan diumumkan selepas proses siasatan diselesaikan.”

“Buat masa ini, penemuan awal daripada proses kawalan kualiti dalaman menunjukkan bahawa produk kami tidak mempunyai sebarang kekurangan dari segi kualiti dan susu kami selamat untuk diminum," kata Tarang Gupta, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, menurut laporan AstroAWANI.

AstroAWANI melaporkan Dutch Lady turut menyatakan bahawa butiran pembungkusan produk turut disalah erti dan dianggap sebagai petunjuk produk palsu.

Dutch Lady selanjutnya meminta orang ramai untuk berhubung dengan pusat khidmat pelanggan di talian 1-800-88-1191 atau emel ke dutchcareline@frieslandcampina.com jika ingin keterangan lanjut.

- Agensi berita/SM/sm

Top