Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Wan Azizah kesal Suu Kyi abai isu Rohingya

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa kesal terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana enggan menghentikan kekejaman tentera negaranya terhadap etnik minoriti Rohingya.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Wan Azizah kesal Suu Kyi abai isu Rohingya

Dr Wan Azizah tiba di Brussels pada 17 Oktober untuk mengetuai delegasi M'sia ke persidangan ASEM. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 04:53PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 04:57PM

BRUSSELS: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa kesal terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kerana enggan menghentikan kekejaman tentera negaranya terhadap etnik minoriti Rohingya.

Dr Wan Azizah berkata reputasi Suu Kyi sebagai Pemenang Hadiah Keamanan Nobel tercalar selepas beliau enggan mendesak tentera Myanmar menamatkan kempen keganasan yang berlarutan sekian lama itu.

"Kita dulu pun sama-sama mengetengahkan demokrasi di Myanmar.

"Saya berasa kesal Aung San Suu Kyi tidak membuat apa yang dulunya kita sama-sama rasakan bahawa dia perlu campur sama," kata Dr Wan Azizah kepada agensi berita Bernama dan RTM selepas mengadakan pertemuan dengan Federica Maria Mogherini, Wakil Tinggi Kesatuan Eropah (EU) bagi Dasar Luar Negeri dan Dasar Keselamatan pada Khamis (18 Okt).

Dr Wan Azizah berkata semasa pertemuan dua hala dengan wakil EU di luar mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-12 (ASEM) itu, Cik Federica Maria membangkitkan masalah pelarian Rohingya kerana Malaysia adalah antara jiran Myanmar yang mendapat limpahan pelarian yang diusir.

"Beliau (Federica Maria) sendiri telah melawat kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh, dan mahu cara terbaik untuk menangani masalah tersebut kerana ramai yang menanggung beban kemanusiaan ini.

"Saya memberitahu kita telah mengambil ramai pelarian Rohingya ini dan cuba sedaya upaya menolong. Kita juga mahu etnik Rohingya berada dalam Myanmar itu sendiri sebagai kerajaan antara junta dan sivil," kata Dr Wan Azizah.

Laporan baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa tentera Myanmar perlu disiasat atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya, namun negara itu menolak laporan berkenaan dengan alasan ia 'berat sebelah'.

Cik Suu Kyi, yang pernah dianggap sebagai aktivis berprinsip dan suara untuk hak asasi manusia sejagat, kini berdepan tekanan antarabangsa kerana membiarkan kekejaman tentera negaranya itu.

Dr Wan Azizah tiba di Brussels pada Rabu (17 Okt) untuk mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan ASEM yang bermula semalam (18 Okt).

Sidang Kemuncak ASEM selama dua hari itu menghimpunkan ketua-ketua negara atau pemerintah 51 negara Eropah dan Asia, wakil daripada EU dan Setiausaha Agung ASEAN. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan