Images
  • mahathir (2)
    (Gambar: Manan VATSYAYANA/ AFP)

Dr Mahathir pantas jalankan tugas pembersihan dalam pentadbiran

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pantas melaksanakan "langkah-langkah pembersihan” sejak menerajui Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum pada 9 Mei dan satu perkara yang pasti ialah beliau tidak akan menyembunyikan apa-apa salah laku dalam pentadbiran yang lalu.

Beliau tanpa melengahkan masa mengambil langkah untuk membetulkan apa yang dianggapnya kepincangan dalam negara, mengadakan sidang media hampir setiap hari yang menceriakan media yang mengambil peluang untuk bertanya soalan kepada tokoh yang berjaya memecahkan tembok kekebalan Barisan Nasional.

Tidak dapat dinafikan bahawa Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei, mempunyai banyak tugas berat untuk dilaksanakan.

TANGGUNGJAWAB DR MAHATHIR

Yang pertama ialah membentuk kabinet yang terbukti lebih rumit daripada yang dijangkakan oleh pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu. PH terdiri daripada empat parti iaitu PKR, PPBM, DAP and Amanah.

Dr Mahathir menamakan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Di samping itu, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan memegang portfolio Menteri Pelajaran sementara Dr Wan Azizah diberi portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan. Beliau dijangka menamakan menteri-menteri lain dalam masa terdekat.

Seterusnya, beliau menyasarkan langkah pembersihan terhadap pegawai tertinggi kerajaan yang didakwa terlibat dalam isu-isu yang berlaku sebelum pilihan raya umum seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) scandal.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarah bercuti, sementara Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan dan melaporkan diri bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ditukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam dan kontrak perkhidmatannya dipendekkan.

Mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang namanya disebut-sebut dalam skandal 1MDB, dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, disekat daripada meninggalkan negara oleh Jabatan Imigresen.

GST DIMANSUHKAN, NAJIB & ROSMAH DISIASAT

Polis membuat serbuan ke atas kediaman peribadi Datuk Seri Najib di Kuala Lumpur semasa menjalankan siasatan. Datuk Seri Najib dan 1MDB menafikan sebarang salah laku. Dr Mahathir berikrar akan mendapatkan semula berbilion-bilion dolar yang dikatakan lesap dari 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengarahkan status rahsia laporan audit 1MDB digugurkan pada Selasa, yang bakal mendedahkan pelbagai kepincangan dan salah laku tentang bagaimana dana pelaburan strategik itu diuruskan.

Pakatan Harapan yang diterajui Dr Mahathir memenangi pilihan raya umum yang menyaksikan pertandingan paling banyak penjuru dengan memecahkan monopoli kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara selama 61 tahun.

Berikutan kekalahan teruk BN, Najib meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan pengerusi BN tiga hari selepas pilihan raya.

Seperti dijanjikan, PH menunaikan janjinya dengan pengumuman oleh Kementerian Kewangan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan kepada kadar sifar, berkuatkuasa 1 Jun.

MAJLIS PENASIHAT DITUBUHKAN, ANWAR DIBEBASKAN

Satu lagi perkembangan yang signifikan sejak tujuh hari lalu ialah penubuhan Majlis Penasihat untuk menasihati kerajaan berhubung hal ehwal ekonomi dan kewangan negara semasa tempoh peralihan.

Pasukan itu, yang mempunyai tempoh hayat 100 hari, diketuai oleh mantan menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan dianggotai oleh mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, mantan presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, taikun perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram.

Majlis itu kemudian mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang terdiri daripada lima anggota. Mereka ialah mantan hakim Mahkamah Rayuan Datuk K.C. Vohrah, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Datuk Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig-Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, Pensyarah undang-undang dan pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya Prof Emiritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Datuk S. Ambiga.

Satu lagi perkembangan yang ditunggu-tunggu ialah apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan kelmarin (16 Mei) selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada beliau.

Datuk Seri Anwar menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pembebasannya dan juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana mempercepatkan pembebasannya. Datuk Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit kesalahan meliwat. Beliau sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun.  

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top