Images
  • mahathir ap interview
    Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama The Associated Press pada 13 Ogos 2018.(Gambar fail: AP)

Dr Mahathir akui tidak aktif bersukan

KUALA LUMPUR: Pada usia 93 tahun dan jelas masih aktif dan kuat, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sebenarnya bukanlah seorang yang giat bersukan.

Mengakui ia bercanggah dengan galakan sentiasa bersenam untuk kekal sihat dan cergas, Dr Mahathir secara berseloroh meminta rakyat Malaysia supaya tidak mencontohinya dalam perlakuan berkenaan.

"Saya tak guna otot dan tubuh badan saya seperti yang saya nasihat orang lain (supaya bersenam), orang lain patut buat apa yang saya tak buat.

"Jangan ikut Dr Mahathir, dia suruh orang bersukan, (tapi) dia tak bersukan," kata beliau semasa berucap di acara sambutan Hari Sukan Negara di Bandar Sukan Kuala Lumpur, di Bukit Jalil hari ini (13 Okt).

Isteri beliau, Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyertai ribuan rakyat pelbagai lapisan dalam acara itu sejak awal pagi tadi (13 Okt).


Gambar Dr Mahathir dan isteri melepaskan para peserta ‘fun ride’ pada Hari Sukan Negara di Bandar Sukan Bukit Jalil. (Gambar: BERNAMA)

Dr Mahathir berkongsi pengalaman bahawa beliau bermain sukan ragbi ketika bersekolah.

Perdana Menteri itu berkata beliau terlibat dengan sukan berkenaan kerana berpendapat ia hanya memerlukan keberanian untuk 'berkelahi' di atas padang.

"Tetapi sekarang ini tidak bolehlah ragbi, dah lemah, dah tua, tapi jangan fikir orang tua ni tak boleh buat kerja," katanya.

Justeru, Dr Mahathir menggesa rakyat negara itu supaya sentiasa menggunakan otot dan otak agar kekal sihat dan cerdas memandangkan pada masa ini, rakyat lebih banyak menghabiskan masa bekerja di dalam pejabat berhawa dingin tanpa banyak menggerakkan otot.

Dr Mahathir turut membayangkan kapal terbang pada masa akan datang mempunyai ruang untuk bersukan, termasuk gelanggang futsal bagi membolehkan penumpang menggerakkan otot mereka ketika penerbangan jarak jauh. 

- BERNAMA/AI/ai

Top