Images
  • harimau akar
    Harimau dahan yang berjaya ditangkap oleh APM Sik selepas ia menyerang reban ayam. (Gambar: APM SIK PAGE/Facebook)

Disangka kucing hutan, rupanya harimau dahan serang ayam dalam reban

SIK: Seorang penghuni di Kampung Jelutong, Chepir dikejutkan dengan 'kunjungan' oleh seekor harimau dahan yang menyerang reban ayam miliknya pada kira-kira pukul 6.00 pagi tadi (11 Ogos).

Nurul Isma Dzakaria, 32, berkata bahawa ibunya terdengar bunyi bising dari arah reban ayam berhampiran rumah mereka sebelum bergegas bagi memeriksa keadaan ayam di dalam reban tersebut.

Cik Nurul berkata: "Bila mak saya keluar, nampak macam ada kucing di dalam reban. Ayah saya pula dekati reban, dia nampak seekor ‘kucing’ saiz besar dan menyangkakan ia mungkin kucing hutan. Namun bila saya sendiri tengok di dalam reban, saya nampak macam harimau sebab ekornya panjang, takkan kucing, saya terus hubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik."

"Sementara menanti kedatangan APM, ayah saya cuba menghalang harimau itu daripada lari, menggunakan besi. Walaupun ia kelihatan agak agresif tetapi mujur tidak menyerang ayah saya," katanya ketika dihubungi agensi berita Bernama.

Menurut beliau, keluarganya sudah lama membela ayam di dalam reban tersebut. Bagaimanapun, ini merupakan kejadian pertama yang membabitkan serangan harimau.

"Dalam reban ada lebih kurang 30 ekor ayam, mungkin harimau tu sudah makan empat ekor ayam... ini kejadian kali pertama di kampung ini... pintu reban memang ditutup, tak pasti macam mana harimau ni menceroboh masuk ke dalam reban," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Sik, Kapten Pertahanan Awam Mohd Mukhrij Md Sabir, ketika dihubungi, berkata bahawa kes itu merupakan kes pertama yang membabitkan tangkapan harimau di daerah tersebut.

"APM Sik menerima panggilan pada pukul 6.40 pagi tadi dan empat anggota bergegas ke lokasi dan tiba di sana pada pukul 6.55 pagi... disebabkan harimau itu agak agresif, anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum berjaya menangkap haiwan yang dianggarkan seberat 9 kilogram itu.

"Harimau yang dipercayai jenis harimau dahan tersebut sudah diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

- BERNAMA/AI/ai

Top