Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dera amah: Ibu majikan berusia 60 tahun ditahan

Polis pada Isnin (12 Feb) menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan kes pembantu rumah Indonesia mati dipercayai didera di Taman Kota Permai 2.

Anggaran Waktu Membaca:
Dera amah: Ibu majikan berusia 60 tahun ditahan

Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Diterbitkan : 13 Feb 2018 09:00AM Dikemas Kini : 13 Feb 2018 09:02AM

BUKIT MERTAJAM: Polis pada Isnin (12 Feb) menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan kes pembantu rumah Indonesia mati dipercayai didera di Taman Kota Permai 2.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita berumur 60 tahun itu ditahan di hadapan sebuah bangunan di Jalan Green Hall, George Town kira-kira 2.30 petang semalam.

"Selepas Adelina Lisio, 28, meninggal dunia, kami mencari warga emas terbabit yang juga ibu kepada dua beradik yang ditahan sebelum ini di rumah mereka di Taman Kota Permai 2, namun dia tiada, dipercayai disembunyikan oleh anak-anaknya bagi mengelak ditahan.

"Wanita itu juga tinggal di rumah yang sama dan difahamkan turut memukul pembantu rumah berkenaan," katanya di sini hari ini.

Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada sekitar 4.45 petang kelmarin dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Adelina ditemui sekitar 8.00 malam Sabtu selepas polis menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim dan ekoran itu, polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berumur 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Nik Ros Azhan berkata wanita warga emas itu akan direman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata laporan bedah siasat ke atas pembantu rumah itu mendapati dia mati disebabkan kegagalan organ badan kerana kekurangan darah dan dipercayai mangsa diabaikan keluarga berkenaan.

Polis tidak menolak kemungkinan selain didera dengan dipukul dan ditampar, pembantu rumah itu turut diabaikan kesihatannya termasuk tidak diberi makanan dan tempat tinggal yang sempurna sejak beberapa bulan lepas, katanya.

"Setakat ini, polis telah merekod keterangan beberapa orang saksi termasuk jiran-jiran majikan mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memanggil beberapa lagi orang antaranya doktor dan kenalan majikannya bagi membantu siasatan," katanya. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan