Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dasar lindung keselamatan pelanggan makan tepi jalan perlu diperkenal

Agensi berkaitan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) Malaysia perlu memperkenalkan dasar mengawal keselamatan orang ramai ketika makan di jalan-jalan awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Dasar lindung keselamatan pelanggan makan tepi jalan perlu diperkenal

Kejadian berlaku di Taman Equine di Selangor pada Ahad (18 Nov).

Diterbitkan : 20 Nov 2018 02:30PM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 02:33PM

KUALA LUMPUR: Agensi berkaitan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) Malaysia perlu memperkenalkan dasar mengawal keselamatan orang ramai ketika makan di jalan-jalan awam.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Lee Lam Thye berkata mereka perlu meneliti tragedi baru-baru ini, di mana seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) merempuh pelanggan ketika menjamu selera di sebuah restoran di Taman Equine dan kejadian itu menimbulkan isu keselamatan apabila meletakkan meja di tepi jalan untuk pelanggan.

“Ini terbukti berbahaya dan boleh mengundang bencana. Kejadian sama pernah berlaku pada Jun 2003 di Seksyen 14, Petaling Jaya apabila sebuah kereta merempuh pelanggan yang duduk di luar restoran mamak 24 jam.

“Dilaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan pada masa itu mengisytiharkan bahawa semua kedai makan dan restoran termasuk gerai mamak perlu berhenti meletakkan meja, kerusi atau bangku di luar premis mereka.

“Namun, disebabkan penguatkuasaan yang lemah, masih banyak kedai makan yang meletakkan kerusi dan meja di luar premis mereka termasuk di laluan pejalan kaki rumah kedai yang menyusahkan orang ramai terutamanya mereka yang kurang upaya. Ia kelihatan seperti arahan sedemikian tidak pernah dikeluarkan dan dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini (20 Nov).

Beliau berkata memandangkan ia bukan tragedi pertama, pihak berkuasa perlu memikirkan keselamatan orang awam dan pada masa yang sama, mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang menyebabkan kematian.

“Pengguna jalan raya perlu sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan orang lain. Nyawa orang yang tidak bersalah melayang begitu sahaja dan ini boleh dicegah sekiranya keselamatan menjadi aspek penting dalam minda setiap orang,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 8.15 malam Ahad lalu (18 Nov), seorang wanita berusia 57 tahun maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan 4WD merempuh pelanggan yang duduk di tempat terbuka sebuah restoran di Taman Equine.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan