Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China gesa semua masjid kibar bendera negara bagi "galak semangat patriotik"

Semua masjid di China perlu mengibarkan bendera negara untuk "menggalak semangat patriotik" dalam kalangan masyarakat Muslim.

Anggaran Waktu Membaca:
China gesa semua masjid kibar bendera negara bagi "galak semangat patriotik"

Umat Islam di sebuah Masjid di China. (Gambar: AFP/Chandran Khanna)

Diterbitkan : 22 May 2018 12:17AM Dikemas Kini : 22 May 2018 12:19AM

BEIJING: Semua masjid di China perlu mengibarkan bendera negara untuk "menggalak semangat patriotik" dalam kalangan masyarakat Muslim.

Demikian diisytiharkan oleh badan utama kawal selia Islam di negara itu, sedang Parti Komunis berusaha memperketat kawalan ke atas agama.

Bendera-bendera perlu diletakkan di "tempat yang jelas" di semua halaman masjid, menurut Persatuan Islam China dalam satu surat yang dimuat naik ke lamannya pada Sabtu (19 Mei).

Persatuan Islam China adalah sebuah badan persekutuan pemerintah dan mempunyai kuasa untuk mentauliah para imam.

Menurut surat itu: "(Ini) memperkukuhkan lagi pemahaman terhadap matlamat sivik dan kebangsaan serta menggalak semangat patriotik dalam kalangan Muslim dari semua kumpulan etnik."

Masjid-masjid juga perlu memaparkan maklumat tentang "nilai-nilai teras sosialis" parti secara umum dan menjelaskannya kepada para penganut menerusi kitab Islam supaya ia "tersemat di dalam hati masyarakat", tambahnya.

Surat itu dikeluarkan menyusuli Peraturan Ehwal Agama yang baru disemak semula. Ia berkuat kuasa pada bulan Februari lalu dan menyebabkan kumpulan-kumpulan hak menyuarakan kebimbangan tentang kebebasan beragama.

Peraturan baru itu memperketat hukuman ke atas kegiatan keagamaan yang tidak dibenarkan dan mempertingkat penyeliaan negara ke atas agama sebagai percubaan untuk "menyekat fahaman pelampau" dan menangani apa yang dilihat sebagai ancaman kepada negara.

Para kakitangan masjid perlu mengadakan pembelajaran tentang perlembagaan China dan undang-undang lain yang relevan - khususnya peraturan agama yang baru itu, menurut surat tersebut lagi.

Mereka juga perlu mengkaji karya-karya klasik China dan mengadakan kursus-kursus mengenai tradisi budaya China di samping memastikan mereka hanya memberi tumpuan kepada para ulama China berbanding pendakwah asing, tambahnya.

Matlamatnya adalah supaya masjid-masjid menjadi "sebuah wadah utuh untuk mempelajari tentang parti dan undang-undang serta dasar-dasar negara", selain menjadi rumah ibadah.

Ini sekaligus mewujudkan "pemahaman identiti China yang sama" antara Muslim dengan penduduk majoriti Han.

Islam adalah salah satu daripada lima agama yang diiktiraf oleh Parti Komunis yang tidak beragama. Negara itu mempunyai sekitar 23 juta penduduk Muslim.

Namun sekatan ke atas mereka semakin diperketat, khususnya di wilayah barat laut Xinjiang, yang menjadi tempat tinggal kepada sebahagian besar Muslim Uighur yang merupakan minoriti. Mereka tidak dibenarkan memelihara janggut dan bersolat di tempat awam.

Puluhan ribu anggota masyarakat Uighur ditahan dengan cara yang tidak telus dan dihantar ke pusat-pusat pendidikan semula bagi perkara-perkara yang dianggap sebagai kesalahan. Malah mereka boleh ditahan tanpa tempoh yang jelas dan proses yang betul.

Menurut pihak berkuasa sekatan-sekatan dan kehadiran para pegawai polis di Xinjiang bertujuan untuk mengawal daripada tersebarnya fahaman radikal dan gerakan puak pemisah. Namun para penganalisis berkata rantau itu semakin menjadi sebuah penjara terbuka.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan