Images
  • haji buta
    Encik Abdul Aziz dan isterinya Cik Esah ketika ditemui media menceritakan mengenai perjalanan ibadah mereka. (Gambar: BERNAMA)

Buta bukan penghalang jejakkan kaki di tanah suci

MAKKAH: Biarpun tidak sesempurna insan lain, semangat dan kesabaran Encik Abdul Aziz Yusof, 73 tahun, dan isterinya Cik Esah Long, 72 tahun mengumpul wang sedikit demi sedikit membolehkan mereka untuk ke tanah suci.

Pasangan kurang upaya penglihatan ini mula memasang niat dari usia muda untuk menunaikan haji dan mula mengumpul wang sebelum mendaftar pada bulan Mac 2009.

Setelah membuat persiapan dari segi pengetahuan dan ilmu berkaitan haji dengan menggunakan sistem tulisan braille, Cik Esah berkata beliau dan suami menerima surat tawaran untuk ke tanah suci pada Mac lalu.

"Berkat wang yang kami simpan sedikit demi sedikit, akhirnya dapat juga kami menunaikan haji. Orang kata kalau kami macam ini (buta), tidak wajib untuk ke Makkah. Tapi pada saya, kalau ada duit tu dah dikira wajib. Apa lagi yang mahu dibuat dengan duit (simpanan) itu, bukan boleh dibawa ke mati," katanya.

PERNAH TUNAI IBADAH UMRAH

Pasangan ini juga pernah menunaikan umrah pada 2003 di bawah Persatuan bagi Orang Buta Malaysia bersama-sama 30 jemaah yang lain, terdiri daripada ahli persatuan dan pengiring.

Menurut Encik Abdul Aziz, semasa di Makkah beliau belum lagi berpeluang untuk ke Masjidil Haram selain semasa menunaikan umrah wajib semasa tiba dari Madinah, atas sebab kesihatan dan masalah cepat lelah, di samping laluan ke masjid dari tempat penginapan yang agak berbukit.

"Alhamdulillah, bila dekat sini (tanah suci), banyak orang (jemaah lain) dan petugas haji yang membantu. Kawan sebiliklah yang paling kerap membantu jika saya nak ke surau dan sebagainya," katanya.

Dilahirkan sempurna, Encik Abdul Aziz, yang berasal dari Terengganu, kehilangan daya penglihatannya ketika berusia tiga tahun akibat diserang demam panas manakala Cik Esah yang berasal dari Pulau Pinang pada umur tujuh tahun, atas sebab yang sama.

PERNAH 'LIHAT' KAABAH SEMASA KECIL LAGI

Pasangan ini berkenalan semasa di sekolah menengah dan mendirikan rumah tangga pada Disember 1974 dan dikurniakan dua orang cahaya mata dan dua cucu setakat ini.

Menurut Cik Esah, beliau pernah melihat gambar Kaabah, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sebelum hilang penglihatan dan hanya mampu membayangkan gambaran itu semasa berada di tanah suci.

Selain mendapat haji yang mabrur, pasangan istimewa ini turut berdoa supaya dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk mereka menjalankan ibadah di tanah suci. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top