Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Buku terbuang dapat nafas baru di perpustakaan usaha pemungut sampah Turki

Mungkin ramai yang tidak mahu mengambil tahu nasib buku yang dibuang ke dalam tong sampah apabila pembacanya mengemas rak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Buku terbuang dapat nafas baru di perpustakaan usaha pemungut sampah Turki

(Gambar: AFP / ADEM ALTAN)

Diterbitkan : 19 Jan 2018 09:52PM Dikemas Kini : 19 Jan 2018 09:56PM

ANKARA: Mungkin ramai yang tidak mahu mengambil tahu nasib buku yang dibuang ke dalam tong sampah apabila pembacanya mengemas rak mereka.

Bagaimanapun, di Ankara, ibu kota Turki buku-buku yang dibuang tidak semestinya berakhir menjadi kertas kitar semula.

Sebaliknya, ia mendapat nafas baru di perpustakaan bukan konvensional yang diusahakan sekumpulan pemungut sampah di bandar tersebut.

Keadaan buku yang ditinggalkan di kaki lima oleh penduduk memberi mereka idea untuk mengitarnya semula kepada pembaca baru.

Dibuka lebih tujuh bulan lalu oleh sekumpulan pemungut sampah dan pengurus mereka, perpustakaan itu ditempatkan di sebuah kilang yang tidak lagi beroperasi. Tempat itu sudah menjadi tempat pekerja berkumpul selama ini.

Kilang yang ditinggalkan sejak 20 tahun lalu itu, kini menjadi ruang yang meriah untuk kakitangan menghabiskan masa rehat mereka dengan membaca buku. Koleksinya sekarang mencecah sehingga 4,750 buku.

Ruang yang asalnya, diwujudkan untuk pekerja dan keluarga mereka untuk meminjam buku sehingga 15 hari, kini dibuka juga kepada umum, kata pengurus tapak kerja, Emirali Urtekin.

Beliau berkata, masih ada 1,500 buku lagi yang belum diletakkan di rak dengan semakin banyak buku diselamatkan dan didermakan.

Tiada satu pun buku yang dilupuskan dengan buku yang tidak lagi dapat digunakan berfungsi sebagai rak buku.

Bangunan yang sudah diubah suai dengan paip tembaga digunakan sebagai lampu, juga menyediakan kedai gunting, kafeteria, tempat bersosial dan pejabat untuk kakitangan pengurusan.

Buku disusun kepada 17 kategori merangkumi novel, buku teks ekonomi, cerita ngeri dan sastera kanak-kanak.

Perpustakaan itu menawarkan pelbagai karya yang ditulis pengarang ternama luar negara dan Turki.

Ia beroperasi 24 jam sehari untuk pekerja dan memiliki pustakawan sendiri yang dibayar oleh majlis perbandaran.

Menurut majlis perbandaran, perkhidmatan baru itu menjadi satu-satunya perpustakaan daerah yang unik dibuka kepada umum.

Perpustakaan itu menerima perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa, sekali gus mendorong lebih banyak buku disumbangkan dan tidak hanya terhad daripada sumber asalnya, iaitu tong sampah.

Walaupun tidak ada rancangan untuk memperluaskan ruang sedia ada, perpustakaan itu terus mencetuskan projek lanjutan kepada buku yang dibuang.

Menurut pengurusnya mereka akan mewujudkan perpustakaan bergerak dan mengunjungi sebahagian sekolah di Ankara setiap 15 hari supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai kanak-kanak.

Sumber : AFP/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan