Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bersatu teliti permohonan bekas anggota UMNO

Tindakan ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sesuatu yang mudah buat bekas anggota UMNO terutamanya Anggota Parlimen dan pemimpinnya, kerana permohonan mereka akan diteliti dan tingkah laku mereka diperhatikan bagi memastikan sama ada mereka layak menyertai parti itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bersatu teliti permohonan bekas anggota UMNO

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 03:15PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 03:17PM

PUTRAJAYA: Tindakan ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sesuatu yang mudah buat bekas anggota UMNO terutamanya Anggota Parlimen dan pemimpinnya, kerana permohonan mereka akan diteliti dan tingkah laku mereka diperhatikan bagi memastikan sama ada mereka layak menyertai parti itu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu hanya mengalu-alukan mereka yang bebas daripada sebarang salah laku atau mereka yang bukan penyokong kuat mantan Perdana Menteri Najib Razak.

“Kami hanya menerima pemimpin yang tidak terlibat dan menunjukkan sokongan yang kuat kepada Najib. Ada antara mereka yang mengutuk Pakatan Harapan (PH) dan memanggil saya gelaran yang tidak elok, dan semua itu.

“Mereka ini kami tidak terima. Bukan hanya terus masuk Bersatu. Mereka akan diteliti untuk melihat sama ada mereka layak atau tidak,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih di pejabatnya.

UMNO mengalami krisis apabila beberapa pemimpin termasuk wakil rakyatnya, mengumumkan keluar parti untuk menjadi anggota bebas, manakala ada antara mereka yang bakal menyertai parti komponen PH.

SYARAT-SYARAT SERTAI BERSATU

Dr Mahathir berkata Bersatu sudah mengenakan syarat tertentu bagi Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO sebelum mereka boleh menyertai Bersatu.

“Ada antara mereka sudah bertemu saya dan menyatakan janji mereka ingin menyertai Bersatu tetapi mereka tidak akan cuba mendapatkan apa-apa kedudukan dalam parti... mereka tidak akan memegang apa-apa jawatan atau menjadi calon untuk pilihan raya akan datang. Kami memberitahu mereka, untuk menyertai Bersatu, ada syarat-syaratnya (yang harus mereka penuhi).

“Yang pertama, anda mesti meninggalkan UMNO dan menjadi anggota bebas untuk seketika, dan semasa tempoh itu, anda mesti menunjukkan bahawa anda menyokong kerajaan PH kemudian anda boleh memohon, atau anda boleh memohon lebih awal, tetapi permohonan itu akan dipertimbangkan selepas kami melihat tingkah laku anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata pada pilihan raya umum yang lalu, banyak orang Melayu menyokong UMNO kerana parti itu masih popular di kaca mata kebanyakan orang Melayu.

“Orang Melayu ini mesti dibawa keluar kerana apabila mereka menyokong Bersatu, Bersatu akan kuat dan PH juga menjadi kuat. Jadi, ini kedudukan kami. Mereka (Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO) boleh masuk sebagai anggota, mereka mempunyai pengikut.

“(Tetapi) Kami tidak mengambil pemimpin, seperti dua, tiga nama yang disebutkan.

STRATEGI PAKATAN HARAPAN? MASIH PERLU PEMBANGKANG, KATA MAHATHIR

“Pemimpin berkenaan, mereka tidak boleh masuk (Bersatu). Ada kes-kes terhadap mereka, mereka perlu menghadapi mahkamah. Kami tidak akan menerima mereka,” tambahnya.

Ditanya sama ada anggota PH yang lain menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkara itu, Dr Mahathir berkata: “Ya, mereka bimbang”.

“(Tetapi) kami juga mengambil berat (perkara itu). Kami tidak mahu memberi gambaran bahawa UMNO mengambil alih Bersatu atau parti lain dalam PH. Kami sangat serius dalam meneliti orang-orang ini. Mereka ingin masuk. Saya rasa di kampung-kampung mereka masih berpengaruh. Jika kami menolak mereka, mungkin kami menolak pengundi. Mereka boleh membawa masuk beberapa pengundi. Ini akan menguatkan Bersatu dan PH juga,” katanya.

Mengenai persepsi bahawa menerima penyertaan bekas Anggota Parlimen UMNO adalah sebahagian daripada strategi PH untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen, Dr Mahathir berkata secara peribadi, beliau tidak suka kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

“Saya mahukan pembangkang yang kuat. Tetapi apa yang anda lihat pembangkang kini benar-benar hancur. MIC tidak berfungsi, MCA tidak berfungsi. Di Sabah mereka tidak berfungsi. Keseluruhan UMNO berpecah kepada banyak bahagian... ada yang ingin kekal dalam UMNO, ada yang ingin keluar. Ada juga yang tidak ingin berpolitik lagi.

“Tiada pembangkang yang boleh dipercayai pada masa ini. Bahkan, semasa saya dalam kerajaan sebelum ini, ketika saya mengetuai BN (Barisan Nasional), saya pernah kata kita memerlukan pembangkang kerana tanpa pembangkang ibarat tiada cermin untuk melihat diri sendiri. Anda rasa anda cantik, tetapi sebenarnya anda sangat hodoh,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan