Images
  • main icerd
    Orang ramai berkumpul di Kuala Lumpur pada 8 Dis bagi rapat anti-ICERD. (Gambar: Amy Chew)

Beribu-ribu orang tiba di KL dari merata M'sia bagi rapat anti-ICERD

KUALA LUMPUR: Beribu-ribu penyokong UMNO dan PAS tiba di Kuala Lumpur hari ini (8 Dis) sempena rapat anti-Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perhimpunan itu diteruskan meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan tidak lagi akan mengesahkan ICERD, satu Konvensyen Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk diskriminasi dan menggesa negara-negara supaya melaksanakan dasar yang menghapus segala bentuk diskriminasi kaum.

Para peserta rapat tersebut tiba dari merata Malaysia dengan menaiki kereta api, bas dan pesawat untuk memberi sokongan kepada perjuangan itu.

Penyokong PAS, Hasni Mohd Alim, yang memandu dari rumahnya di Seremban ke Kuala Lumpur hari ini (8 Dis), memberitahu Mediacorp bahawa beliau bersama keluarganya hadir di rapat itu kerana mereka ingin mempertahankan hak bumiputera orang Melayu di negara itu.


(Gambar: Amir Yusof)

"Ya, kali ini kerajaan Pakatan Harapan tidak mengesahkan ICERD, tetapi kelak, mereka mungkin akan dipengaruhi unsur-unsur luar untuk melakukannya. Kami ingin menyampaikan satu mesej bahawa rakyat Malaysia akan amat tidak berpuas hati sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengesahkan perjanjian itu," kata peniaga berusia 45 tahun itu.

Para penyokong berkumpul di dua masjid - Masjid Jamek dan Masjid Negara seawal 6.00 pagi.

Masjid-masjid itu terletak sekitar 2 kilometer dari Dataran Merdeka, tapak rasmi demonstrasi.

Siti Mariam Mohd Kassim, yang hadir bersama dua sepupunya dari Kota Bahru, Kelantan, berkata bahawa rapat itu akan berjalan dengan aman dan para penyokong hanya ingin suara mereka didengar.


(Gambar: Amir Yusof)

"Kami tidak membawa sebarang senjata atau apa-apa sepertinya. Kami ingin berhimpun sebagai satu kontinjen besar dan memberitahu kerajaan bahawa tindakan mengesahkan ICERD tidak baik untuk Malaysia," kata seorang pelajar 18 tahun.

Mohd Ibrahim Che Mat, yang merupakan seorang penyokong UMNO dari Johor berkata bahawa para peserta rapat sudah diingatkan oleh para penganjur melalui kiriman WhatsApp supaya tidak melakukan sebarang provokasi atau keganasan.


"Sekiranya ada yang menimbulkan kekacauan, dan saya harap tidak, ia sebuah kumpulan minoriti. Kami Muslim dan Islam adalah agama yang damai. Merosakkan harta benda awam atau melukakan sesiapa bukan sesuatu yang ingin kami lakukan."

Kawalan keselamatan di kawasan-kawasan dekat Dataran Merdeka juga dipertingkat. Hadangan-hadangan dipasang dan para pegawai dilihat meronda di bangunan-bangunan kerajaan berdekatan.

Rapat itu bermula pada jam 2.00 petang dan dijangka berakhir pada jam 6.00 petang nanti.  

- CNA/AQ/aq

Top