Images
  • ustaz kazim
    Ustaz Kazim Elias. (Gambar: malaymailonline)

Belum ada perbincangan antara Al-Barakah, kerajaan negeri Perak

IPOH: Pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi belum mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan dengan kerajaan negeri. Demikian menurut Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi.

Menurut Encik Asmuni, setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai masalah yang dihadapi oleh pusat pengajian yang diasaskan oleh penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias. 

"Maklumat yang kita ada hanya melalui berita di surat khabar, maklumat lanjut apa masalah sebenarnya kami tidak tahu.

“Adakah sebelum ini mereka dapat bantuan kerajaan atau agensi kerajaan dan adakah kerana pertukaran kerajaan menyebabkan mereka tiba-tiba sahaja tidak dapat beroperasi dengan baik, kami tidak tahu,” katanya kepada para wartawan selepas sambutan Aidilfitri Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini (13 Jul).

Sebelum ini, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menyatakan kesediaan kerajaan negeri membantu pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah menangani masalah yang dihadapi setelah berita penjualan unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah tular.

Bagaimanapun Rabu lalu (4 Jul), Ustaz Kazim mengumumkan penangguhan penjualan Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah sehingga bulan depan. 

Dalam pada itu, Encik Asmuni berkata bahawa kerajaan wajar melakukan audit di sekolah agama bagi memastikan pengurusan kewangan dikendalikan dengan baik.

"Saya setuju jika sekolah agama ini diaudit kerana terdapat sekolah agama yang menerima dana awam, sumbangan kerajaan negeri, majlis agama Islam negeri dan sebagainya jadi (dengan audit) perjalanan kewangan boleh diketahui.

 "Ini juga untuk mengelakkan keraguan dan pelbagai spekulasi negatif, maka kalau perlu kerajaan akan pertimbangkan peraturan seperti itu," katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top