Images
  • greece
    Satu perarakan diadakan sempena ulang tahun ke-10 kejadian seorang belia ditembak mati oleh polis. (Gambar: Alexandros Avramidis/Reuters)

Belia Greece berarak peringati peristiwa belia ditembak mati polis

ATHENS: Polis Greece bertempur dengan sekumpulan penunjuk perasaan yang mengganas di ibu kota Athens selepas ratusan orang berarak secara di jalan-jalan raya Athens. Perarakan tersebut diadakan sempena ulang tahun ke-10 kejadian seorang belia, berusia 15 tahun, ditembak mati oleh polis.

Dalam insiden itu, Alexandros Grigoropoulous tidak bersenjata. Pembunuhannya pada tahun 2008 juga mencetuskan rusuhan selama dua minggu yang paling dahsyat di Greece dalam masa puluhan tahun.

Pada malam 6 Disember 2008, beberapa jam selepas Grigoropoulous ditembak mati, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di Athens dan membakar kereta-kereta serta memecahkan cermin tingkap, selain menjarah kedai-kedai.

Tunjuk-tunjuk perasaan itu, yang turut tercetus akibat kemarahan berhubung pengangguran dan masalah ekonomi sebelum berlakunya krisis hutang Greece, berlangsung selama beberapa minggu.

Menjelang tunjuk perasaan semalam (6 Dis), polis mengerahkan lebih 2,000 anggotanya untuk mengawal keadaan di Athens.

Dua penunjuk perasaan ditahan buat sementara waktu, menurut seorang pegawai polis. Salah seorang daripada mereka cedera akibat pertempuran itu.

Selain di Athens, polis juga bertempur dengan para penunjuk perasaan di bandar Thessaloniki di bahagian utara. 

- Reuters/MU/ai

Top