Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas Speaker Indonesia terpaksa jual harta untuk bayar kembali wang rasuah

Bekas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Setya Novanto, dilaporkan terpaksa menjual asetnya bagi tujuan membayar balik wang yang dilesapkannya dalam kes rasuah projek Kad Tanda Penduduk Elektronik (e-KTP).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas Speaker Indonesia terpaksa jual harta untuk bayar kembali wang rasuah

Gambar fail bekas speaker parlimen Indonesia, Setya Novanto. (Gambar: Garry Lotulung/Reuters)

Diterbitkan : 14 Sep 2018 10:17PM Dikemas Kini : 14 Sep 2018 10:22PM

INDONESIA: Bekas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Setya Novanto, dilaporkan terpaksa menjual asetnya bagi tujuan membayar balik wang yang dilesapkannya dalam kes rasuah projek Kad Tanda Penduduk Elektronik (e-KTP).

Menurut media Indonesia, Setya yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan jenayah itu, terpaksa berbuat demikian untuk membayar kembali wang berkenaan kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia.

Jurucakap KPK, Encik Febri berkata setakat ini, Setya yang membuat bayaran secara ansuran sudahpun membayar sejumlah Rp5 bilion (S$461,960) dan US$100,000 (S$137,155).

"Bayaran terakhir yang dilakukan semalam (13 Sep) iaitu berjumlah Rp1.1 bilion (S$101,630), jumlah yang dibayar setakat ini dalam rupiah ialah Rp5 bilion (S$461,960) dan dalam dolar Amerika Syarikat berjumlah US$100,000 (S$137,155)," katanya.

Menurut laporan media Indonesia, Setya sudah menjual rumah dan tanahnya di Jakarta dan Bogor bagi tujuan pembayaran balik itu.

Peguamnya, Firman Wijay, berkata Setya juga bakal menjual beberapa lagi asetnya yang lain.

Pada April lalu, mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan denda Rp500 juta (S$46,370) selepas dia didapati bersalah dalam kes rasuah dan penyelewengan projek e-KTP yang dipercayai membabitkan kerugian Rp2.3 trilion (S$213 juta) kepada negara.

Setya juga dihukum supaya mengembalikan wang berjumlah US$7.3 juta (S$10.02 juta) kepada pemerintah menerusi KPK.

Kes rasuah dan penyelewengan projek e-KTP itu turut melibatkan beberapa pegawai pemerintah, termasuk empat anggota DPR Indonesia dengan beberapa kes berkaitan projek e-KTP tersebut masih dibicarakan di mahkamah.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan