Beberapa ketua agensi akan digugurkan kerana subahat dengan Najib, kata Mahathir
Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kerajaan akan menggugurkan beberapa ketua agensi kerajaan, lapor Malaysiakini.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kerajaan akan menggugurkan beberapa ketua agensi kerajaan, lapor Malaysiakini.
"Beberapa ketua agensi akan digugurkan.
"Kita dapati beberapa individu membantu dan bersubahat dengan bekas perdana menteri yang dikecam di seluruh dunia sebagai kleptokrat," kata Dr Mahathir.
Malaysiakini melaporkan bahawa Dr Mahathir berkata demikian di sidang media yang diadakan sejurus selepas mengangkat sumpah di depan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan membuat perubahan di dalam agensi yang sebelum ini didakwa melindungi mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir diiringi pemimpin Pakatan Harapan termasuk Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Sebagai bekas pembangkang, Pakatan Harapan mendakwa Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional tidak menghormati prinsip berhubung pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Antara lain, pemimpin Pakatan Harapan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu BN dalam pilihan raya umum ke-14 melalui persempadanan semula dan memperkenalkan pelbagai peraturan yang cenderung berpihak kepada BN, lapor Malaysiakini.
Pakatan Harapan turut mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pejabat Peguam Negara bertindak berat sebelah terhadap pembangkang dan melindungi pemimpin BN termasuk Datuk Seri Najib.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.