Images
  • baby left at drain
    Gambar: Cornie Viljoen

Bayi terbiar dalam longkang dekat sarang semut api, diselamatkan pejalan kaki

CAPE TOWN : Seorang bayi perempuan dianggap "ajaib" selepas ditemui hidup walaupun ditinggalkan dalam keadaan cuaca sejuk berhampiran sarang semut api.

The Sun melaporkan bahawa bayi itu dibiarkan dalam longkang sedalam 1.8 meter di Port Elizabeth, Afrika Selatan.

Bayi yang dalam keadaan bogel dengan tali pusat masih bersambung itu dijumpai oleh seorang wanita, Charmaine Keevy, 63, yang sedang berjalan dengan anjingnya pada sebelah pagi.

Menurut The Sun, anjing yang dibawa bersama oleh wanita berkenaan tiba-tiba mula menyalak dan selepas mendengar bunyi tangisan, beliau cuba menahan kenderaan bagi meminta bantuan sebelum seorang pemandu, Cornie Viljoen, 60 tahun, berhenti.

Mereka mengangkat penutup longkang itu sebelum Cik Viljoen turun dan mengharungi sengatan semut api gara-gara untuk menyelamatkan bayi itu.

“Saya terasa kaki bayi itu dan menyedari ini tapak jenayah lalu terus mengambil gambar menggunakan telefon bimbit yang kemudian diserahkan kepada Cik Charmaine untuk menyerahkannya kepada perkhidmatan kecemasan.

“Bayi itu terlalu kecil dan saya berhati-hati menariknya. Dia amat bernasib baik kerana tempat dia ditinggalkan lebih rendah daripada sarang semut,” katanya kepada media tempatan yang dipetik The Sun.

Bayi itu dikejarkan ke hospital dan menurut Jurucakap Kesihatan Wilayah, Sizwe Kupelo, dia mengalami hipotermia serta masalah pernafasan. The Sun melaporkan bahawa kakitangan hospital memberikannya nama Grace April.

Jurucakap polis, Kolonel Priscilla Naidu berkata bahawa pihaknya masih menyiasat dan merayu saksi membantu siasatan.

Sementara itu, Cik Charmaine berkata: “Saya percaya Tuhan menggerakkan hati untuk melalui kawasan itu kerana saya tidak pernah berjalan di situ." 

- Agensi berita/SM/sm

Top