Images
  • bayi ditinggalkan di masjid
    Bayi lelaki ditemui ditinggalkan di dalam kotak di depan Masjid Ar-Rahman Parit Gantung Sungai Rambai, Jasin Melaka. (Gambar: Media sosial)

Bayi berusia 3 hari ditinggalkan dalam kotak di masjid

AYER KEROH: Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di dalam sebuah kotak di depan Masjid Ar-Rahman Parit Gantung Sungai Rambai, Jasin Melaka pada pagi Rabu (16 Mei).

Menurut laporan Astro Awani, bayi yang cukup sifat dibalut kain berwarna biru gelap itu ditemui bersama botol susu dan sebungkus susu tepung oleh jemaah masjid yang ingin menunaikan solat subuh di masjid berkenaan sekitar jam 5.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Timbalan Superintendan Arshad Abu berkata, bayi yang dipercayai berusia sekurang-kurangnya tiga hari itu berada dalam keadaan sihat dan sempurna.

Menurut beliau lagi, bayi itu ditemui oleh jemaah wanita sebelum memaklumkan perkara itu kepada bilal masjid yang bertugas.

"Siasatan awal mendapati tali pusat bayi lelaki itu telah dipotong dan diikat menggunakan reben selain dirujuk ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut," kata beliau lapor Astro Awani.

Pihaknya turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi mengenal pasti kedua ibu bapa bayi tersebut memandangkan masjid berkenaan tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian luar. 

- Agensi berita/FA/im

Top