Images
  • Gavel generic
    Gambar hiasan. (Gambar: Gil Cohen Magen/AFP)

Bapa rogol anak tiri dipenjara 29 tahun, disebat 20 kali

PETALING JAYA: Seorang penjaga stor dijatuhi hukuman penjara selama 29 tahun dengan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Malaysia hari ini (10 Okt) atas dua tuduhan melakukan sumbang mahram dan merogol anak tirinya di Seri Kembangan, Serdang, Selangor.

Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki berusia 51 tahun itu selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap remaja perempuan berkenaan.

Bagi pertuduhan merogol, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun dengan 12 sebatan, serta dipenjarakan selama 15 tahun dan dirotan lapan kali bagi kesalahan sumbang mahram.

Mahkamah itu memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berasingan, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya yang berusia 19 tahun pada pukul 8.00 pagi, 26 Ogos lalu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan mangsa sama yang ketika kejadian itu hanya berusia 15 tahun, antara tahun 2014 dengan 2015.

Mengikut Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 376B kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan antara 2014 hingga Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim sebelum ini memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor bahawa mangsa merupakan anak yang seharusnya dilindungi tertuduh.

"Sebagai ketua keluarga, tertuduh seharusnya melindungi mangsa, bukan dengan cara begini yang merosakkan masa depannya. Saya mohon satu hukuman yang sangat berat yang dapat mencerminkan keseriusan kesalahan," kata beliau.

Bagaimanapun tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia mempunyai tiga anak yang masih kecil, selain isteri yang tidak bekerja.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa berusia 15 tahun, mangsa yang sedang tidur di dalam biliknya dihampiri tertuduh yang menggunakan kunci pendua dan terus merogolnya. Ia berlaku berulang kali sehingga mangsa berusia 19 tahun, dan berlaku sebanyak sebulan sekali.

Mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian kemudian mengadu kepada kakaknya, dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan. 

- BERNAMA/AI/ai

Top