Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bapa Altantuya jumpa Dr Mahathir esok

Bapa model warga Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, akan bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir esok (20 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa Altantuya jumpa Dr Mahathir esok

Setev Shaariibuu, bapa Altantuya akan bertemu dengan Dr Mahathir di Putrajaya. (Gambar: Twitter/Amy Chew)

Diterbitkan : 19 Jun 2018 02:47PM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 02:50PM

PETALING JAYA: Bapa model warga Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, akan bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir esok (20 Jun).

Peguam keluarga tersebut, Ramkarpal Singh mengesahkan Dr Setev Shaariibuu akan bertemu Dr Mahathir Mohamad pada sekitar jam 5.00 petang di Putrajaya.

Dr Setev bertemu Peguam Negara Tommy Thomas pada pukul 3.00 petang hari ini (19 Jun) bagi membincangkan kemungkinan membuka semula kes pembunuhan anaknya, lapor mStar.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, polis tidak menemui sebarang bukti lain untuk membuka kembali siasatan pembunuhan itu.

Pada Mei lalu, Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga berharap Dr Mahathir dapat melihat kembali kes pembunuhan Shariibuu Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006, dan sehingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Pada 23 Ogos 2013, menurut mStar, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan bekas Unit Tindak Khas (UTK) Sirul Azhar Umar sebagai tertuduh kedua dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan selepas membenarkan rayuan pendakwa raya dalam kes itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Menurut mStar lagi, tertuduh didakwa membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu antara jam 10.00 malam, 19 Oktober dengan jam 1.00 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan