Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir M'sia: 10 stesen KTM ditenggelami air, lapangan terbang tetap beroperasi

 Sepuluh stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di Pantai Timur tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air disebabkan banjir kuat yang melanda kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir M'sia: 10 stesen KTM ditenggelami air, lapangan terbang tetap beroperasi

Keadaan banjir di Kelantan. (Gambar: Channel NewsAsia/Sumisha Naidu)

Diterbitkan : 26 Dec 2014 07:34PM Dikemas Kini : 26 Dec 2014 09:45PM

KUALA LUMPUR: Sepuluh stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di Pantai Timur tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air disebabkan banjir kuat yang melanda kawasan itu.

Pengerusi KTM Berhad Datuk Nawawi Ahmad berkata, kesemua stesen yang terlibat ialah Chegar Perah, Merapoh, Gua Musang, Limau Kasturi, Bertam Baharu, Kemubu, Dabong, Bukit Abu, Manek Urai dan Krai.

"Disebabkan perkhidmatan intercity yang masih terganggu, para penumpang boleh menukar semula tarikh perjalanan atau pun mendapatkan pemulangan tambang
penuh untuk perjalanan yang dibatalkan," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Datuk Nawawi berkata lapan perkhidmatan tren di kawasan Chegar Perah hingga Tumpat dibatalkan sejak 22 Disember lepas, melibatkan perkhidmatan tren Intercity iaitu tren shuttle nombor 70, 71, 72, 73. Turut terlibat ialah tren ekspres nombor 26, 27, 28 dan 29 iaitu Ekspres Wau dan Ekspres Senandung Timuran, katanya.

Datuk Nawawi berkata sistem mekanikal kereta api yang turut terjejas merangkumi lapan lokomotif, 19 koc, satu buffet (katering) serta empat generator dan dijangka mengambil masa lama untuk dibaik pulih.

Namun kata beliau, kos kerugian dan baik pulih masih belum dapat diketahui kerana perlu melakukan proses penganalisis secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Nawawi berkata KTM Berhad turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,500 serta bekalan makanan kepada 177 kakitangannya yang terlibat banjir demi memastikan kebajikan mereka terus terjamin.

LAPANGAN TERBANG DI PANTAI TIMUR BEROPERASI SEPERTI BIASA

Sementara itu, semua lapangan terbang yang diurus Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Pantai Timur masih beroperasi seperti biasa walaupun negeri-negeri di wilayah itu dilanda banjir.

Lapangan terbang terbabit ialah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, Kelantan; Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan, Pahang, dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, Terengganu.
Dalam satu kenyataan, operator lapangan terbang itu berkata setakat ini belum ada penerbangan yang dibatalkan di ketiga-tiga lapangan terbang berkenaan. "MAHB sedang memantau keadaan dan akan membuat pengumuman jika keadaan berubah," katanya. 

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan