Images
  • raja salman
    Raja Salman menghadiri Sidang Puncak Liga Arab ke-29. (Gambar: BANDAR AL-JALOUD/AFP)

Baitulmakdis isu utama masyarakat Arab, tegas Raja Salman

DAMMAN: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud menamakan Sidang Puncak Liga Arab ke-29 sebagai Sidang Puncak Baitulmakdis untuk mengingatkan orang ramai di seluruh dunia bahawa Palestin sentiasa tersemat dalam hati nurani masyarakat Arab.

Ketika merasmikan Sidang Puncak tersebut yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Antarabangsa King Abdulaziz di Dhahran semalam (15 Apr), beliau menegaskan bahawa isu Palestin adalah “isu keutamaan kita” dan kekal sebagai isu utama. Selain itu, Raja Salman turut mengutuk keputusan pentadbiran Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmakdis.

Menurut media dalam talian tempatan, Raja Salman mengumumkan sumbangan $50 juta (S$65 juta) kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dan $150 juta (S$196 juta) kepada Program Bantuan Wakaf Islam di Baitulmakdis sambil menekankan bahawa ia seharusnya menjadi ibu negara Palestin.

Beliau juga menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian yang tegas terhadap dasar perluasan pengaruh oleh Iran di rantau berkenaan yang mencetuskan pergolakan.

Menurut Raja Salman, keselamatan dunia Arab adalah satu sistem yang lengkap dan tidak dapat dipisahkan. Beliau juga mengalu-alukan perjanjian untuk mengadakan sidang puncak kebudayaan Arab.

Dalam pada itu, Raja Salman selanjutnya mengemukakan inisiatif dan kesediaan Arab Saudi untuk menangani cabaran keselamatan yang dihadapi oleh dunia Arab.

- BERNAMA/SM/sm

Komen Anda?

Top