Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bahasa Melayu bakal disertakan dalam peperiksaan Peperiksaan Tahun 12 di Australia mulai 2019

Mulai 2019, bahasa Melayu akan disertakan dalam peperiksaan di sekolah Bahasa Victoria, iaitu serupa dengan GCE Peringkat ‘A’ di sini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 May 2017 09:55PM Dikemas Kini : 20 May 2017 11:00AM

MELBOURNE: Mampukah bahasa Melayu mekar di negara asing?

Bagi sekumpulan guru Melayu Singapura yang berhijrah ke Melbourne, Australia, jawapannya ialah 'Ya!'.

Menggelar diri mereka LOTE, usaha kumpulan itu untuk merintis pengajaran bahasa Melayu membuahkan hasil.

Mulai 2019, bahasa Melayu akan disertakan dalam Peperiksaan Tahun 12, di Sekolah Bahasa Victoria.

Peperiksaan itu serupa dengan GCE Peringkat ‘A’ di sini.

Buat julung-julung kalinya, ‘Minggu Bahasa’ dianjurkan di Melbourne dalam usaha melestarikan bahasa Melayu untuk generasi muda.

Bagi kumpulan LOTE ini, meskipun sudah berhijrah ke Australia, harapan mereka ialah untuk memastikan bahasa Melayu terus diwarisi generasi anak cucu mereka.

Penganjuran “Minggu Bahasa” di Melbourne ini satu cara memastikan budaya dan bahasa Melayu dapat dihidupkan di bumi kanggaru. 

Pengerusi LOTE Malay, Encik Raihan Mohd Nawawi berkata: "Usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan masyarakat Melayu terutama ibu bapa dan juga pemimpin-pemimpin Melayu yang memahami tentang kepentingan mengekalkan bahasa dan juga jati diri Melayu di kalangan generasi muda di bumi Australia."

LOTE mendapat kelulusan menjalankan kelas-kelas bahasa Melayu untuk kanak-kanak Melbourne.

Ini dijalankan di Sekolah Bahasa Victoria sejak tahun lalu dan dimanfaatkan 90 pelajar.

Menjelang tahun 2019, Bahasa Melayu akan disertakan dalam peperiksaan Tahun 12 di wilayah Victoria, Australia. Peperiksaan itu serupa dengan GCE Peringkat ‘A’ di sini, iaitu sebelum pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Ibu tiga orang anak dan penduduk Melbourne selama 10 tahun, Cik Rosela Saad memberikan pendapat: "Ini secara tidak langsung akan mencorak dan membentuk jati diri mereka sebagai anak Melayu yang tinggal di bumi kanggaru ini. Saya juga mahu mereka kagum dan bangga dengan bahasa mereka, budaya mereka supaya satu hari nanti mana tahu mereka akan menjadi duta yang dapat mempertingkatkan dan memartabatkan Bahasa Melayu."

Pelajar LOTE Malay dari Roxburgh College, Ahmad Yusri Yusoff turut berkata: "Sejak Bahasa Melayu dimulakan pada tahun lepas, kawan-kawan saya sekarang dapat memahami apa yang dibualkan oleh ibu bapa. Dan, saya juga dapat bertutur dengan mereka dalam Bahasa Melayu. 

Walaupun 90 peratus pelajar ini dibesarkan di Melbourne, masing-masing gigih berlatih bagi menjayakan segmen budaya, seperti Dikir Barat, Deklamasi Sajak, Tarian, Silat, Taridra dan sebagainya.

"90 pelajar Bahasa Melayu untuk membuat persembahan mengenai adat Melayu kepada masyarakat umum. Kami amat bertuah kerana masyarakat Melayu di bumi Victoria ini mempunyai berbagai kepakaran termasuk pengajaran Bahasa, sastera, seni silat, seni dikir barat, pakaian tradisi dan juga pemakanan tradisi Melayu seperti kuih-muih," kata Encik Raihan.

Usaha yang dianggap berbaloi, memandangkan ia mencipta sejarah bagi masyarakat Melayu Melbourne.

Sekitar 200 dijangka turut serta. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan