Images
  • world cup
    (Gambar: AFP/Munir Uz Zaman)  

Bahang Piala Dunia memuncak di Bangladesh, para peminat berlaga

DHAKA: Bangladesh bukanlah dalam kalangan pasukan yang akan bertanding di Piala Dunia yang membuka tirainya esok (14 Jun).

Malah, kemungkinan skuad negara itu beraksi di termasya berkenaan sangat kabur memandangkan ia hanya berada di tangga ke 194 dalam senarai 244 pasukan dari seluruh dunia.

Namun begitu, bahang Piala Dunia hangat di Bangladesh seolah-olah pasukan tanah air bakal memburu trofi kejuaraan tersebut.

Bahkan sesetengah peminat turun padang dan berlaga antara satu sama lain dengan parang sehingga membawa kepada kecederaan.

Minggu lalu, peminat Lionel Messi dan Neymar bergaduh dan seorang lelaki serta anaknya, cedera parah rentetan itu.

Anehnya, permusuhan tersebut berlaku antara peminat-peminat Brazil dengan Argentina - kedua-duanya negara Amerika Selatan yang terang-terang jauh hubungannya dengan penduduk Bangladesh.

Meskipun begitu, gara-gara mereka tergila-gila dengan pasukan yang diminati itu, keadaan kian menjadi huru-hara di negara tersebut.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak 12 tahun meninggal dunia selepas terkena kejutan elektrik sedang dia cuba menggantung bendera Brazil di tepi jalan raya.

Dalam pada itu, geng-geng motosikal di bandar Madarganj, berhimpun dan mengibar-ngibarkan bendera pasukan kegemaran mereka di khalayak peminat pasukan lawan.

Menurut Ketua Polis Mohammad Rafique, beberapa peminat setia mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cara-cara mendatangkan kacau kepada peminat pasukan lawan.

"Anda boleh merasakan ketegangan dan keghairahan di seluruh bandar," kata beliau kepada AFP. 

- CNA/SM/na

Komen Anda?

Top