Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Azmin Ali kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pengganti baru dilantik

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi izin kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Azmin Ali kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pengganti baru dilantik

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 May 2018 10:24AM Dikemas Kini : 21 May 2018 10:28AM

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi izin kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata beliau mengizinkannya selepas Mohamed Azmin bersetuju untuk menerima jawatan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi portfolio berkenaan.

Beliau berkata menteri besar itu membuat keputusan tersebut setelah mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai skop kerja dan bidang kuasa kementerian baru.

“Mohamed Azmin, bagaimanapun akan kekal memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor buat sementara waktu hingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar yang baru dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

“Dalam masa sama Mohamed Azmin perlu mengemukakan senarai calon-calon Menteri Besar Selangor baru untuk penelitian dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebelum lantikan menteri besar tersebut dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LEPASKAN JAWATAN SELEPAS MB BARU SUDAH DILANTIK

Datuk Mohamad Munir berkata Datuk Seri Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor sebaik sahaja Sultan Sharafuddin melantik menteri besar baru.

Ia selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Datuk Seri Mohamed Azmin, 54, yang juga Timbalan Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor pada 11 Mei lalu.

Beliau mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 September 2014.

Dua wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua Amirudin Shari dan ADUN Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan