Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ayam 30 sen seekor oleh syarikat Bismi jadi rebutan!

Orang ramai berebut membeli ayam yang ditawarkan pada harga 30 sen (S$0.10) seekor oleh sebuah syarikat di Simpang Empat Kangkong di Alor Setar, hari ini (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Ayam 30 sen seekor oleh syarikat Bismi jadi rebutan!

150 ekor ayam dijual pada harga 30 sen (S$0.10) sempena ulang tahun ke-30 penubuhan Syarikat Ayam Bismi. (Gambar: Ayam Segar Bismi Halal Suci/Facebook)

Diterbitkan : 15 Sep 2018 05:10PM Dikemas Kini : 15 Sep 2018 05:16PM

ALOR SETAR: Orang ramai berebut membeli ayam yang ditawarkan pada harga 30 sen (S$0.10) seekor oleh sebuah syarikat di Simpang Empat Kangkong di Alor Setar, hari ini (15 Sep).

Menurut Pengarah Eksekutif Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd, Mazlina Makaruddin, syarikat berkenaan menawarkan 150 ekor ayam pada harga yang tidak munasabah itu berbanding harga asal antara RM7.50 (S$2.50) hingga RM8 (S$2.70) sekilogram sebagai menghargai sokongan para pelanggan setia sempena ulang tahun ke-30 penubuhan syarikat itu.

"Ada pelanggan yang datang beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan kupon pembelian ayam pada harga 30 sen (S$0.10), namun kaunter hanya dibuka pada pukul 7.30 pagi dan dalam tempoh kurang sejam kupon tersebut telah habis.

"Bagi pelanggan yang tidak mendapat kupon, mereka masih boleh mendapatkan ayam pada harga istimewa RM5.99 (S$1.99) seekor berbanding harga biasa RM6.49 (S$2.20) seekor dan untuk hari ini di mana sebanyak 15,000 ekor ayam disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan," kata Cik Mazlina.

Beliau berkata demikian ketika ditemui para wartawan semasa pada majlis sambutan ulang tahun syarikat tersebut di pusat jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong. Acara itu turut dihadiri oleh Pengasas dan Pengerusi Ayam Bismi, Jaffri Ahmad.

"Jualan harga ayam yang murah ini bertujuan berkongsi rezeki dan memberi pulangan balik hasil perniagaan tersebut kepada pelanggan. Selain itu, hasil yang kita peroleh digunakan untuk kerja-kerja tanggangjawab sosial korporat (CSR) seperti membantu naik taraf masjid," kata beliau.

Cik Mazlina berkata selain ayam, pihaknya turut menghadiahkan 30 motosikal dan 300 periuk nasi elektrik kepada para pelanggan dalam cabutan bertuah.

Sementara itu, pelanggan setia Ayam Bismi, Norbalqis Hasin, terkejut apabila dimaklumkan melalui panggilan telefon bahawa nama anaknya, Muhammad Adam Fariz Muhamad Iskandar, 8 tahun, terpilih sebagai pemenang cabutan bertuah sekaligus berjaya membawa pulang sebuah motosikal.

"Saya ada di rumah sebelum dapat panggilan dan dimaklumkan anak menang cabutan bertuah. Tidak sangka kerana sebelum ini, memang setiap kali kalau hendak pulang ke rumah ibu di Yan, saya akan berhenti membeli ayam di Simpang Empat Kangkong ini.

"Saya selalu beli ayam Bismi ini sebab selain harga yang murah, saya tahu ia bersih dan 100 peratus halal," kata Cik Norbalqis. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan