Asing cawan di sekolah tidak gambar ajaran Islam sebenar
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan dasar sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Langat, Selangor yang mengasingkan cawan pelajar Islam dan bukan Islam sebagai mendukacitakan dan tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.
LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan dasar sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Langat, Selangor yang mengasingkan cawan pelajar Islam dan bukan Islam sebagai mendukacitakan dan tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.
Beliau berkata perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terutama di negara yang hidup dalam suasana kepelbagaian dan berharap perkara seumpama tidak berlaku di Perak.
"Ini seolah-olah kita nak menggambarkan bahawa Islam keras dan tidak bertoleransi langsung sedangkan Islam adalah agama sifatnya kesejahteraan kepada semua.
"Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Perak dan saya tidak suka ada pihak yang cuba memisahkan kehidupan kita iaitu kehidupan bernegara," katanya dalam sidang media di Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Elemen @Seri Manjung di Kampung Datuk Seri Kamarudin semalam (11 Ogos).
Pada Khamis, sebuah portal berita melaporkan sekolah berkenaan meletakkan label ‘Murid Islam’ dan ‘Murid Bukan Islam’ pada setiap cawan yang diletakkan bersebelahan mesin pembahagi air di sebuah blok bangunan di sekolah itu dipercayai untuk kegunaan murid-murid.
Laporan itu turut memetik kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan perkara tersebut berunsurkan perkauman selain mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.