Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS komited kepada pelucutan senjata nuklear Korea Utara yang 'menyeluruh, sah dan mutlak', kata Pompeo

Amerika Syarikat komited kepada pelucutan senjata nuklear yang menyeluruh di semenanjung Korea, menurut Setiausaha Negara Mike Pompeo.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jun 2018 06:15PM Dikemas Kini : 15 Jun 2018 01:05AM

SEOUL: Amerika Syarikat komited kepada pelucutan senjata nuklear yang menyeluruh di semenanjung Korea, menurut Setiausaha Negara Mike Pompeo pada Khamis (14 Jun), selepas memberi taklimat kepada rakan sejawatannya di Korea Selatan dan Jepun berhubung sidang antara Presiden Donald Trump dan Kim Jong Un.

"Amerika Syarikat kekal komited bagi mencapai pelucutan senjata nuklear yang menyeluruh, sah dan mutlak di Korea Utara," kata Encik Pompeo dalam satu sidang media di Seoul.

Encik Kim akur proses ini perlu berlaku "secepatnya", kata Encik Pompeo, sambil memberi amaran bahawa kelonggaran sekatan tidak akan diberikan sehingga berlaku "pelucutan nuklear yang menyeluruh".

"Kami percaya Kim Jong Un faham mengapa kita perlu melakukannya secepat mungkin."

Diplomat kanan Washington itu berada di Seoul untuk memberi taklimat kepada Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha dan Menteri Luar Jepun Taro Kono mengenai perbincangan bersejarah Selasa lalu (12 Jun).

Encik Pompeo juga menekankan bahawa Pyongyang komited untuk menyerahkan simpanan senjata nuklearnya, namun ia merupakan "suatu proses yang bukan mudah".

Susuli sidang puncak kelmarin, Encik Trump berkata Amerika Syarikat akan menghentikan latihan ketenteraan "provokatif" bersama Korea Selatan, selagi rundingan sedang berlangsung dengan Korea Utara, dalam satu pengumuman yang mengejutkan Seoul.

Meskipun demikian pakatan AS-Korea Selatan kekal "utuh seperti biasa", kata Menteri Luar Seoul Kang Kyung-wha dalam sidang media bersama Encik Pompeo dan menteri luar Jepun Taro Kono.

Encik Pompeo dijadual berlepas ke Beijing untuk menemui rakan sejawatannya di China selepas mesyuarat di Seoul. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan