AS henti isi minyak pesawat tentera Arab Saudi
Amerika Syarikat tidak akan lagi mengisi bahan api pesawat tentera gabungan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman.
WASHINGTON: Amerika Syarikat tidak akan lagi mengisi bahan api pesawat tentera gabungan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman.
Menurut tentera Amerika, ia satu langkah yang dilihat akan mengakhiri bantuan dan peranan Washington dalam peperangan Arab Saudi di negara bergolak itu.
Langkah tersebut diumumkan ketika Riyadh, yang menghadapi tekanan akibat kematian penduduk awam dalam serangan udara di Yaman, turut berdepan dengan kemarahan global dan ancaman sekatan atas pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, di konsulat Istanbul pada 2 Oktober.
Pada bulan lalu, Amerika Syarikat dan Britain menggesa gencatan senjata dikuatkuasakan di Yaman bagi menyokong usaha yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan peperangan selama empat tahun yang membunuh lebih 10,000 orang dan mencetuskan krisis kemanusian paling dahsyat di dunia.
Mulai hari ini (10 Nov), Amerika Syarikat tidak akan lagi mengisi bahan api pesawat Arab Saudi yang melancarkan serangan bom di kubu-kubu pemberontak di Yaman.
Langkah itu diambil selepas Arab Saudi mengeluarkan kenyataan agar usaha itu dihentikan kerana negara itu kini berupaya untuk melakukannya sendiri.
Ketua Pentagon, James Mattis, berkata beliau menyokong 'keputusan' Saudi itu.
Para pengkritik sudah lama mempersoalkan pelibatan Amerika Syarikat dalam peperangan di Yaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.